KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Sebanyak 10 projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya disenarai pendek sebagai calon bagi merebut pengiktirafan berprestij pada pertandingan World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan projek berkenaan merupakan antara 360 inisiatif ICT dari 194 negara anggota Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) yang terpilih untuk bersaing dalam 18 kategori yang dipertandingkan.
Projek yang tercalon mengikut kategori ialah:
1. Platform Pembangunan Rangka Kerja dan Kapasiti Kemahiran ASEAN 5G Skills (Kategori AL C1 - Peranan kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam mempromosikan ICT untuk pembangunan).
2. Pelan Pemulihan Komunikasi dan Infrastruktur (CIDR (Kategori AL C5 - Membina keyakinan dan keselamatan dalam penggunaan ICT).
3. Tadbir Urus Digital Berpaksikan mausia Melalui Pelan Lima Tahun MCMC2030 (Kategori AL C6 - Mengupayakan persekitaran).
4. AgriNXT: Bahagian Oil Palm Chapter (OPC) (Kategori AL C7 - penggunaan ICT: manfaat dalam semua aspek kehidupan, E-pertanian)
5. AGRINXT Northern Chapter MCMC: Memperkasa Penternak Ternakan Malaysia Dengan Anggaran Berat Lembu Berasaskan AI (Kategori AL C7 - penggunaan ICT: manfaat dalam semua aspek kehidupan, E-pertanian).
6. AGRINXT Northern Chapter MCMC: Memperkasa Pesawah menerusi Pengesanan Penyakit Padi Berasaskan AI (Kategori AL C7 - penggunaan ICT: manfaat dalam semua aspek kehidupan, E-sains).
7. Portal Sebenarnya.my (Kategori AL C9 - Media).
8. Kempen Internet Selamat (KIS) (AL C10. Dimensi beretika Masyarakat Bermaklumat).
9. Pengawasan Sisa Elektronik Melalui Kerjasama Komuniti untuk Tindakan Peredaran Bertanggungjawab (Kategori AL C10).
10. Memperkasakan komuniti bagi penerimagunaan AI yang sihat dan beretika melalui program Microsoft AI TEACH MCMC MCMC Microsoft AI TEACH programme (Kategori AL C10).
Sehubungan itu, MCMC memohon kerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong dan memberikan undian (upvote) kepada projek berkenaan bagi memastikan Malaysia memenangi Projek Terbaik WSIS Prizes 2026.
Undian boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://www.itu.int/net4/wsis/stocktaking/Prizes/2026/Vote sehingga tarikh tutup pada 13 Mei ini.
“Sila daftarkan akaun terlebih dahulu sebelum melakukan undian,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kenyataan turut memaklumkan MCMC mengambil inisiatif membuka reruai di ruang lobi Kompleks Kementerian Komunikasi bermula sejak 17 April hingga 13 Mei, dari pukul 10 pagi hingga 3 petang bagi memudahkan orang ramai membuat pengundian.
-- BERNAMA
