Daripada Niam Seet Wei
CEBU (Filipina), 6 Mei (Bernama) -- ASEAN sedang meneliti penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan daya tahan rantau ini dalam mendepani ketidaktentuan global, kata Timbalan Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri (DTI) Filipina Allan Gepty.
Gepty, yang juga Menteri Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) Filipina berkata keselamatan tenaga adalah penting bukan sahaja untuk perniagaan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), malah untuk semua sektor.
“Satu daripadanya, sudah tentu pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN (APG), yang merupakan penyelesaian jangka panjang untuk daya tahan negara,” katanya pada sidang media hari ini.
Ia bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan yang diadakan di sini dari 6 hingga 8 Mei 2026.
Sementara itu, Gepty berkata pemuktamadan dan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) akan menjadi antara keberhasilan utama sidang kemuncak tersebut.
“Malah, pihak berkepentingan kami berharap terhadap pemuktamadan dan pemeteraian perjanjian amat penting ini serta inisiatif yang menggalakkan jaringan pembayaran serantau berikutan ini penting untuk perniagaan kami,” katanya.
Beliau berkata perjanjian itu akan membantu PMKS mengakses pasaran luar negara melalui platform dalam talian dan mewujudkan peraturan yang lebih jelas bagi mengawal urus niaga digital di rantau ini.
“Platform dalam talian menjadi instrumen yang menyamakan peluang bagi PMKS kita mengakses pasaran luar negara.
“Saya berpendapat mewujudkan peraturan yang mengawal urus niaga dalam talian adalah amat dialu-alukan,” katanya.
Filipina mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 1 Jan 2026 dengan tema, Navigating Our Future, Together, memacu keutamaan ASEAN menerusi tiga teras: Tonggak Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran dan Pemerkasaan Rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu di sini pada Khamis.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan akan diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah.
-- BERNAMA
