KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 perlu dijadikan sebagai platform penting bagi memperkukuh landskap media negara ke arah lebih beretika, berdaya saing serta berintegriti.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak berkata penganjuran program itu hadir tepat pada masanya ketika industri media berdepan cabaran besar era digital, termasuk isu kepercayaan masyarakat terhadap penyampaian maklumat.
“Harapan kita adalah supaya semua pengamal media bersatu hati, bersama melihat cabaran yang dihadapi, termasuk merencana kaedah bagaimana untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap peranan media.
“Selain itu, HAWANA juga boleh menjadi pemangkin mendidik masyarakat mengenai kepentingan maklumat yang tepat dalam era digitalisasi ketika ini,” katanya semasa menjadi tetamu Program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, di sini hari ini.
Beliau berkata HAWANA 2026 bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya berfungsi sebagai platform strategik yang menghimpunkan pengamal media bagi memperkukuh jaringan kerjasama, memperkasakan perkongsian ilmu serta memupuk semangat profesionalisme yang tinggi.
Mohd Shukri berkata usaha itu penting dalam memastikan industri media kekal relevan, berwibawa dan mampu menyampaikan maklumat secara tepat serta bertanggungjawab kepada masyarakat.
Beliau juga berharap HAWANA 2026 terus mempererat hubungan antara pengamal media di Malaysia melalui jaringan kerjasama yang lebih kukuh, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti media yang lebih dinamik dan bersatu.
“Secara keseluruhannya, HAWANA 2026 diharapkan mampu menjadi pemangkin kepada penyatuan komuniti media ke arah penyampaian maklumat yang sahih, bertanggungjawab serta memberikan impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran sambutan HAWANA 2026, Mohd Shukri yang juga Pengarah Projek HAWANA 2026 berkata acara kemuncak program yang bakal menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth di Pulau Pinang pada 20 Jun.
Beliau berkata antara program iringan yang dirangka bagi memeriahkan sambutan HAWANA 2026 ialah Program Riuh@HAWANA anjuran MyCreative Ventures (MyCV), sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi selama tiga hari bermula 19 Jun di pekarangan Pusat Konvensyen PICCA, yang akan melibatkan pameran dan jualan pelbagai produk, bengkel kreatif serta jualan makanan dan minuman.
“Selain itu, acara iringan lain termasuklah Forum Media HAWANA 2026 yang bakal berlangsung pada 7 Mei, diikuti Pesta Pantun HAWANA-DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) pada 9 Mei, serta Fun Walk HAWANA bertempat di Taman Tasik Titiwangsa pada 14 Jun,” katanya.
HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana merupakan platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan serta profesionalisme pengamal media di Malaysia.
-- BERNAMA
