SHAH ALAM, 5 Mei (Bernama) -- Sebanyak 102 sekolah di seluruh Selangor telah dikenal pasti untuk projek pembinaan bilik darjah baharu, sebagai persiapan kemasukan murid tahun satu yang dijangka meningkat pada sesi persekolahan tahun hadapan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Shukri Ishak berkata langkah itu dilaksanakan bagi mengatasi isu kepadatan murid di sekolah, sekali gus memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa untuk pelajar.
“Bagi program di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang melibatkan persiapan kemasukan murid tahun depan, JKR Selangor telah mendapat peruntukan membabitkan 102 sekolah dan setakat ini, kita telah mengeluarkan 41 iklan sebut harga.
“Kita menyasarkan semua bilik darjah tambahan di sekolah berkepadatan tinggi itu dapat disiapkan sepenuhnya sebelum hujung tahun ini bagi memastikan amanah yang diberikan oleh KPM dilaksanakan mengikut garis masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat JKR Selangor di Seksyen 17 yang disempurnakan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah di Seksyen 17, di sini hari ini.
Terdahulu, kompleks yang dibina dengan kos RM36 juta itu diiktiraf sebagai mercu tanda baharu kerajaan negeri dalam memperkasakan penyampaian infrastruktur awam yang turut dilengkapi dengan kemudahan makmal komputer serta kawasan parkir berbumbung solar.
Shukri berkata JKR Selangor menekankan penggunaan tenaga solar bagi mengurangkan jejak karbon dan kos operasi tahunan, termasuk di kompleks baharu berkenaan.
“Penggunaan teknologi solar di kawasan parkir berbumbung kompleks ini memberikan penjimatan signifikan pada 2025, kita berjaya mencatat pengurangan kos bil sebanyak RM128,000.
“Hasil peruntukan RM1.37 juta daripada Kementerian Ekonomi bagi sistem ini, kita mampu menjimatkan kira-kira 45 peratus daripada jumlah bil bulanan elektrik jabatan yang sebelum ini merupakan antara beban kos utama,” katanya.
Sehubungan dengan itu, pihaknya merancang memperluas pemasangan panel solar ke empat lagi pejabat daerah tahun ini daripada keseluruhan sembilan pejabat dan langkah itu dijangka mampu menjimatkan hingga RM500,000 setahun bagi kos elektrik di cawangan terlibat.
Dalam pada itu, Shukri berkata secara keseluruhan, JKR Selangor kini mengurus 101 projek pembangunan bernilai RM2.69 bilion melibatkan 70 projek Persekutuan dan 31 projek kerajaan negeri.
-- BERNAMA
