ISKANDAR PUTERI, 5 Mei (Bernama) -- Johor mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri peneraju dalam agenda perumahan mampu milik apabila mencatatkan prestasi tertinggi di Malaysia bagi permohonan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan nilai pembiayaan mencecah RM1.1 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pencapaian itu melibatkan sebanyak 8,963 permohonan yang telah diluluskan bagi membantu rakyat, khususnya golongan B40 dan M40, yang berdepan kekangan dokumentasi atau pendapatan tidak tetap untuk memiliki kediaman.
"Bagi SJKP tahun ini, pada peringkat Perdana Menteri Malaysia telah memperuntukkan lebih RM20 bilion dan untuk makluman semua, Johor merupakan penerima pembiayaan tertinggi di Malaysia, yakni nombor satu.
“Ia melibatkan 8,963 permohonan dan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.1 bilion peruntukan yang menunjukkan bahawa Johor ialah negeri paling banyak membina rumah mampu milik, yang harganya bawah RM200,000," katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Nor Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) mengenai status terkini projek Rumah Mampu Milik Johor, khususnya di daerah Batu Pahat dan Parit Raja serta bagaimana kerajaan negeri memastikan golongan muda mampu memiliki rumah.
Mohd Jafni berkata bagi tempoh 2025 hingga 2026, kerajaan negeri telah melakukan reformasi besar melalui bantuan langsung yang signifikan termasuk Bantuan Beli Rumah sebanyak RM5,000, Bantuan Masuk Rumah sebanyak RM2,000 serta Bantuan Sewa Rumah berjumlah RM2,500.
Langkah itu membolehkan rakyat menerima sokongan kewangan hingga RM7,000 yang menjadi pemangkin utama bagi meringankan bebanan awal pemilikan rumah.
Mengulas mengenai status projek di daerah Batu Pahat, beliau memaklumkan sehingga kini sebanyak 3,142 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) telah dikenal pasti merangkumi fasa siap, sedang dibina dan dalam perancangan hingga tahun 2030.
Sementara itu, bagi kawasan DUN Parit Raja, pembangunan melibatkan 497 unit termasuk projek Bandar Genting Pura Kencana yang dijangka siap pada Januari 2028.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor turut menawarkan inisiatif Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ), yang menggunakan konsep menyewa sambil menyimpan bagi membantu penyewa mengumpul deposit rumah hingga RM11,000 dalam tempoh lima tahun.
Inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh negeri bagi memastikan golongan muda tidak lagi hanya sekadar melihat, tetapi benar-benar mampu memiliki rumah sendiri.
-- BERNAMA
