AM

JEMAAH HAJI TERIMA RAWATAN HOSPITAL MASIH BERPELUANG WUKUF DI ARAFAH

04/05/2026 09:04 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 4 Mei (Bernama) -- Jemaah haji Malaysia yang sedang menerima rawatan di hospital Arab Saudi masih berpeluang menunaikan rukun kemuncak haji, iaitu wukuf di Arafah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata Lembaga Tabung Haji dan hospital rakan strategik di Arab Saudi sedang merangka perancangan bagi memastikan jemaah terlibat dapat dibawa ke Arafah.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk membawa mereka ke Arafah, sekurang-kurangnya untuk berwukuf seketika.

“Kita faham mereka menunggu lama untuk menunaikan haji, jadi kita akan bantu semampu mungkin,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 16 jemaah haji Malaysia telah dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi dengan kebanyakannya melibatkan kes jantung, pernafasan, saraf dan masalah otot akibat keletihan fizikal.

Mohd Hisham berkata daripada jumlah itu, hanya empat masih dirawat di hospital termasuk seorang yang menerima rawatan rapi serta bantuan pernafasan akibat komplikasi jantung.

“Keadaan mereka dilaporkan stabil dan Tabung Haji sentiasa memantau perkembangan mereka,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau berkata keadaan kesihatan jemaah Malaysia pada tahap baik walaupun cuaca di Tanah Suci ketika ini mencecah lebih 40 darjah Celsius.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan jemaah mengawal aktiviti fizikal, mendapatkan rehat yang cukup dan mengelakkan berada terlalu lama di luar ketika cuaca panas, khususnya menjelang hari wukuf.

“Kami faham jemaah teruja untuk beribadah di Masjidil Haram namun mereka perlu menyimpan tenaga kerana ibadah haji memerlukan pergerakan yang banyak termasuk melontar jamrah dan mabit (bermalam di Muzdalifah).

“Tidur secukupnya, jaga pemakanan dan elakkan aktiviti luar ketika cuaca panas terik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan