EKONOMI

BURSA MALAYSIA KEKAL TINGGI SEMASA AKHIR SESI DAGANGAN PAGI

04/05/2026 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal tinggi semasa mengakhiri sesi dagangan pagi pada Isnin, susulan aktiviti pembelian berterusan dalam beberapa kaunter perkhidmatan kewangan dan perladangan terpilih.

Maybank yang meningkat 16 sen kepada RM11.24, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.70 dan SD Guthrie yang menokok 10 sen kepada RM6.30, menyumbang sebanyak 5.28 mata kepada kenaikan indeks komposit.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.82 mata atau 0.51 peratus, kepada 1,730.84 daripada 1,722.02 ketika ditutup pada Khamis minggu lepas.

Indeks penanda aras, yang dibuka 6.72 mata lebih kukuh kepada 1,728.74, bergerak antara 1,725.01 hingga 1,735.14 sepanjang sesi pagi.

Lingkungan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 588 berbanding 448, manakala 549 kaunter tidak berubah, 1,036 kaunter tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 1.74 bilion unit bernilai RM1.18 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pasaran tempatan dijangka menjejaki prestasi kukuh keuntungan syarikat berkaitan kecerdasan buatan di Amerika Syarikat (AS).

Konflik berterusan di Asia Barat dijangka terus merangsang harga di kaunter tenaga dan sarung tangan, jelas firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd pula, konflik berlarutan antara AS dan Iran, harga minyak yang tinggi, sekatan berterusan di Selat Hormuz, serta dasar global yang semakin cenderung kepada kadar dasar yang tinggi akan terus mengehadkan minat risiko.

Pada hujung minggu, Presiden AS Donald Trump berkata beliau akan meneliti cadangan damai terbaharu oleh Iran.

Bagaimanapun, Trump tidak menolak kemungkinan serangan baharu terhadap sasaran ketenteraan Tehran sekiranya rejim itu “bertindak tidak wajar”, ketika konflik memasuki minggu kesembilan, sekali gus mencetuskan kejutan tenaga global dan gangguan rantaian bekalan secara meluas.

“KLCI dijangka kekal tidak menentu dan dipengaruhi oleh berita semasa pada bulan Mei,” jelas bank itu.

Antara saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional melonjak 14 sen kepada RM14.68 dan CIMB menambah tiga sen kepada RM7.69, manakala IHH Healthcare susut tiga sen kepada RM8.79 dan Press Metal turun empat sen kepada RM8.59.

Antara saham paling aktif, Zetrix AI meningkat 4.5 sen kepada 86.5 sen, GIIB naik lima sen kepada 16 sen, dan Malaysian Resources Corporation menambah dua sen kepada 36.5 sen.

Bagaimanapun, Econpile susut setengah sen kepada 14 sen.

Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.36 kepada RM37.98, Vitrox meningkat 29 sen kepada RM5.74, dan UWC naik 28 sen kepada RM5.15, manakala Dutch Lady dan Hong Leong Industries masing-masing menokok 26 sen kepada RM32.88 dan RM17.58.

Antara kaunter paling rugi, Nestle merosot RM3.30 kepada RM105.10, Fraser & Neave susut RM1.30 kepada RM30.00, United Plantations kurang RM1.02 kepada RM30.72 dan Petronas Chemicals turun 27 sen kepada RM5.65.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 71.21 mata kepada 12,794.95, Indeks FBM Top 100 menambah 72.90 mata kepada 12,633.73, Indeks FBM Emas Syariah menokok 51.34 mata kepada 12,769.70, Indeks FBM Mid 70 melonjak 141.93 mata kepada 18,227.90, dan Indeks FBM ACE nak 16.24 mata kepada 4,634.35.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 6.66 mata kepada 834.01, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 134.27 mata kepada 20,019.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.45 mata kepada 194.86, dan Indeks Perladangan naik 29.41 mata kepada 8,968.72.

Dagangan saham Rapid Synergy Bhd digantung selama satu jam bermula 9 pagi hari ini berkaitan dengan pengumuman pada 30 April.

Dalam kenyataan kepada bursa pada Khamis minggu lepas, Rapid Synergy menjelaskan juruaudit luarannya berpendapat penyata kewangan bagi tempoh berakhir 31 Dis, 2025 memberikan gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan kewangannya, kecuali kemungkinan kesan daripada perkara yang dinyatakan dalam asas bagi bahagian pendapat yang layak dalam penyata kewangan diaudit bagi tempoh tersebut.

Pada rehat tengah hari, saham Rapid Synergy kekal pada 78 sen, dengan 52,100 saham diniagakan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan