TAIPING, 3 Mei (Bernama) -- Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026 yang memasuki tahun kedua penganjurannya menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung sepanjang dua hari acara itu berlangsung pada 13 dan 14 Jun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh berkata sasaran itu diyakini mampu dicapai susulan sambutan memberangsangkan yang diterima pada tahun lepas, yang merekodkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung.
Beliau berkata festival berkenaan bakal menghimpunkan kumpulan pancaragam dari enam negara termasuk Filipina, Hong Kong, Indonesia dan Jepun dalam usaha memperkukuh Taiping sebagai destinasi seni persembahan belia bertaraf antarabangsa.
“Festival ini bukan sahaja menjadi platform persembahan seni pancaragam tetapi juga peluang penting untuk anak-anak kita berkongsi pengalaman dan beraksi bersama pasukan antarabangsa.
“Pengalaman seperti ini amat penting untuk meningkatkan prestasi dan taraf pasukan pancaragam tempatan,” katanya pada sidang media Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026 di sini hari ini.
Antara pasukan antarabangsa yang bakal mengambil bahagian ialah Santa Maria de Bethania Marching Show Band dari Filipina, The Chopiar Drumline dan The Vigor Marching Band dari Hong Kong, Marching Band Padang Lawas Maju dari Indonesia serta Senshu University Kumamoto Tamana High School Ventures Performing & Arts Band dari Jepun.
Malaysia pula diwakili beberapa pasukan pancaragam sekolah terkemuka termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII Marching Band (The Beats), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Nan Hwa Marching Band, SMJK Sam Tet Marching Band, Sri Kuala Lumpur International School Wind Band, Hua Lian High School Brass Band, SMK Puteri Seremban Marching Band serta SMJK Hua Lian Brass Band.
Wong berkata festival itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat belia tempatan, khususnya dari Taiping menerusi penyertaan tiga pasukan sekolah dari bandar berkenaan, iaitu Hua Lian High School, SMJK Hua Lian dan SMK King Edward VII.
“Program ini akan berlangsung di dua lokasi strategik, iaitu Dataran Warisan pada 13 Jun dan Pasar Awam Taiping pada 14 Jun yang juga pasar awam tertua di negara ini.
“Pemilihan lokasi berkenaan bukan sahaja mampu menampung kehadiran orang ramai, malah dapat mempromosikan keunikan dan warisan bandar Taiping kepada pengunjung luar,” katanya.
Beliau berkata idea penganjuran festival itu tercetus pada 2023 sempena sambutan ulang tahun ke-150 Bandar Warisan Taiping dan kini berkembang menjadi acara komuniti berskala antarabangsa melibatkan penyertaan NGO, sekolah, agensi kerajaan dan sektor swasta.
“Kami mahu membawa dunia ke Taiping dan pada masa sama, membawa Taiping ke mata dunia. Festival ini dijadualkan dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 13 Jun," katanya.
-- BERNAMA
