KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Dua pertiga daripada cadangan pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 tertumpu kepada memperkukuh aspek tadbir urus dan tatakelola institusi itu.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pembaharuan itu perlu memandangkan akta sedia ada sejak 1966 hanya melalui beberapa pindaan kecil dan dilihat tidak lagi selari dengan realiti semasa serta keperluan masa hadapan.
Beliau berkata antara isu utama dikenal pasti ialah pemusatan kuasa yang terlalu besar kepada pengerusi dan Majlis MARA yang berpotensi mendedahkan institusi itu kepada risiko pelanggaran prinsip tadbir urus moden.
“Dalam konteks hari ini, perlu ada pengasingan jelas antara lembaga pengarah dan pihak pengurusan bagi memastikan sistem semak dan imbang yang lebih berkesan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan perasmian mengarahkan draf pindaan akta itu disiapkan dan diserahkan kepada beliau dalam tempoh tiga bulan.
Hadir sama dalam majlis itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Asyraf Wajdi berkata usaha memperhalusi akta itu telah dimulakan sejak setahun lepas, khususnya bagi memastikan aspek integriti dan pengurusan kewangan berada pada tahap terbaik.
Beliau berkata langkah itu penting bagi mengelakkan ketirisan, kebocoran, pembaziran dan sebarang bentuk penyimpangan dalam pengurusan MARA.
Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata pihak pengurusan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) telah mengambil langkah segera membantu keluarga penuntut yang maut akibat ditikam di Ketereh, Kelantan, baru-baru ini.
Beliau berkata pihak KPTM telah bertemu keluarga mangsa dan menawarkan bentuk bantuan yang diperlukan dan siasatan lanjut diserahkan kepada polis kerana melibatkan kes jenayah.
“Saya bagi pihak MARA mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Peristiwa ini amat menyayat hati dan kami sangat berdukacita,” katanya.
Beliau juga mengarahkan aspek keselamatan dan kebajikan pelajar diteliti secara menyeluruh bagi mengenal pasti jika wujud sebarang kelemahan yang boleh ditambah baik agar kejadian seumpama itu tidak berulang.
-- BERNAMA
