KOTA BHARU, 2 Mei (Bernama) -- Polis menahan dua lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang wanita berusia 19 tahun dengan 61 kesan tikaman berhampiran kawasan sawah di Kampung Simah, Ketereh, di sini, awal pagi semalam.
Ini menjadikan keseluruhan suspek yang ditahan dalam kes berkenaan kepada empat individu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, telah melancarkan serbuan bermula pada 4.40 petang semalam hingga 2.30 pagi tadi.
Beliau berkata hasil serbuan dijalankan di dua lokasi berasingan iaitu di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi dan Kampung Belukar Luas, Ketereh.
“Hasil serbuan, polis menahan tiga lelaki berusia antara 19 hingga 66 tahun dan seorang wanita berusia 60 tahun.
“Kesemua tangkapan didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing menunjukkan kesemuanya negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi itu, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, berserta dua buah kereta, dua telefon bimbit, satu set pakaian, sepasang selipar dan empat unit pelapik kaki.
Mohd Yusof berkata permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Kota Bharu dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya.
Mengenai penemuan mayat mangsa, Mohd Yusoff berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat mangsa pada 12.35 tengah malam (1 Mei).
Beliau berkata mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini untuk tindakan lanjut.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 9.30 pagi semalam mendapati, punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada,” katanya.
Semalam, mayat seorang wanita yang merupakan penuntut sebuah kolej ditemukan dengan 61 kesan tikaman di atas jalan berhampiran kawasan sawah Kampung Simah, Ketereh.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan terbabit.
-- BERNAMA
