Daripada Amiril Muttaqien Meketar
HORSENS (Denmark), 2 Mei (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky mengakui skuad badminton lelaki negara menampilkan aksi berbeza pada peringkat kumpulan, sebelum disingkirkan juara bertahan China 0-3 pada aksi suku akhir Piala Thomas 2026 di sini, semalam.
Rexy berkata pasukan negara sudah berada dalam landasan tepat pada peringkat awal Kumpulan B, namun nasib ternyata tidak menyebelahi mereka apabila terpaksa menutup kempen kumpulan selaku naib juara selepas tumpas 2-3 kepada juara edisi 2014, Jepun, Rabu lepas.
“Seharusnya kita sudah boleh menjadi teratas kumpulan, namun ia tidak bermakna sekiranya menang kumpulan laluan akan mudah di suku akhir.
“Tetapi ini yang kita perlu lihat mengapa persembahan di suku akhir sangat berbeza dengan aksi ditampilkan pada peringkat kumpulan,” katanya dalam satu video dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia terus kempunan menamatkan kemarau selama 32 tahun menjulang Piala Thomas, selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.
Rexy juga berkata beliau akan melakukan penilaian sejurus pulang dari Horsens mengenai pencapaian Malaysia pada Piala Thomas kali ini, termasuk merangka strategi membantu pemain mengekalkan prestasi dari awal sehingga ke peringkat kalah mati, lebih-lebih lagi bagi mengharungi kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, dijadual bermula 19 Sept hingga 4 Okt ini.
“Kita harus buat lebih lagi, kerana dari sekarang ada masa dua tahun lagi untuk edisi Piala Thomas seterusnya tetapi perkara sebegini tidak boleh terjadi lagi untuk Sukan Asia, kerana ada juga acara individu selain acara berpasukan,” katanya.
Sementara itu, pakar beregu dari Indonesia itu mengakui Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan dimiliki China, yang juga juara 11 kali Piala Thomas, pada aksi suku akhir semalam.
Beliau turut memuji usaha ditampilkan perseorangan utama Leong Jun Hao walaupun tewas kepada pemain nombor satu dunia Shi Yu Qi, 10-21, 21-16, 9-21, selain mengakui dominasi beregu nombor lima dunia Liang Wei Keng-Wang Chang ketika mengatasi pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, 24-22, 21-14 dalam perlawanan kedua.
China kemudian mengesahkan kemaraan ke separuh akhir menerusi pemain ketujuh dunia Li Shi Feng yang menundukkan ke atas pemain perseorangan kedua Justin Hoh, 21-14-21-13.
Keputusan itu juga bermakna Malaysia gagal menamatkan penantian 24 tahun untuk mencatat kemenangan ke atas China pada kejohanan ini.
Kemenangan terakhir Malaysia dicatatkan pada edisi 2002 pada peringkat separuh akhir, ketika China menjadi tuan rumah kejohanan badminton berpasukan berprestij itu di Guangzhou dengan keputusan 3-2.
Malaysia memulakan kempen Kumpulan B dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas England, diikuti kemenangan 4-1 menentang Finland, sebelum tumpas kepada juara edisi 2014, Jepun.
Piala Thomas 2026 yang bermula 24 April, berakhir esok.
-- BERNAMA
