NILAI, 1 Mei (Bernama) -- Yayasan Amal Maaedicare (Maaedicare Charitable Foundation) telah membuka Klinik Amal Percuma yang ketiganya di Nilai, sekali gus menandakan perluasan strategik model penjagaan kesihatan primer berasaskan komuniti untuk isi rumah berpendapatan rendah di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal Maaedicare Anne Rajasaikaran berkata masyarakat di Nilai terdiri daripada golongan yang sama seperti kumpulan sasaran utama, yang ingin dibantu oleh yayasan itu sejak penubuhannya.
Ditubuhkan dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), klinik berkenaan mencerminkan pendekatan Maaedicare yang berteraskan pengesanan awal, ketelitian klinikal dan kesinambungan rawatan.
“Ramai pesakit yang datang ke klinik kami menghidap penyakit ‘senyap’ seperti hipertensi dan diabetes peringkat awal. Apabila mereka sampai ke tahap rawatan tertier, penyakit itu selalunya sudah berada pada tahap lebih serius.
“Klinik percuma itu membolehkan kami melakukan intervensi lebih awal, mengesan risiko, memulakan rawatan, serta mengurangkan beban kewangan yang sering menyebabkan rawatan ditangguhkan sehingga sudah terlambat,” katanya pada majlis pelancaran klinik itu, semalam.
Majlis pelancaran itu dihadiri Tunku Temenggong Kedah yang juga Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Setiausaha Agung PBSM Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman, ahli lembaga pengarah Maaedicare, pasukan klinikal dan kepimpinan, rakan kongsi korporat serta pihak berkepentingan komuniti.
Anne berkata dalam komuniti seperti di Nilai, mereka yang paling berisiko sering kali paling kurang mendapatkan rawatan, bukan kerana enggan, tetapi kerana ia melibatkan kos yang tidak mampu ditanggung secara berterusan.
Beliau berkata klinik berkenaan bukan sahaja menyediakan akses rawatan, tetapi juga menjaga kebajikan pesakit, memberikan rawatan berterusan, serta membantu orang ramai lebih yakin untuk menguruskan kesihatan mereka sendiri.
Sejak 2023, model ini telah menerima lebih 8,176 pesakit melalui dua kliniknya di Kuala Lumpur dan Ipoh, yang mana kebanyakan daripadanya dikenal pasti menghidap penyakit kronik yang tidak didiagnosis sebelum ini atau tidak diurus dengan baik.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Amal Maaedicare Tunku Datuk Yaacob Khyra berkata inisiatif ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.
“Dengan meletakkan penjagaan primer terus dalam komuniti seperti di Nilai, kita mengubah paradigma daripada rawatan reaktif kepada pengurusan kesihatan yang proaktif,” katanya.
Beliau berkata langkah itu dapat mengurangkan beban jangka panjang negara disebabkan penyakit kronik menerusi pencegahan lebih awal, lebih dekat dengan pesakit serta rawatan yang berterusan.
Yaacob berkata hasil daripada dua klinik pertama menunjukkan bahawa model berasaskan komuniti mampu memberikan impak yang boleh diukur pada skala lebih besar, selain klinik itu berpotensi melengkapi sistem kesihatan awam dengan mempelopori penyelesaian lebih tangkas, bersifat pencegahan dan replicable.
Klinik yang beroperasi Isnin hingga Sabtu dari 9 pagi hingga 1 tengah hari secara walk-in (tanpa janji temu) itu menyediakan perkhidmatan seperti konsultasi percuma dan saringan point-of-care termasuk pemeriksaan tekanan darah, glukosa dalam darah, dan fungsi buah pinggang.
Selain itu, ia menawarkan rawatan penyakit kronik berstruktur dengan rawatan susulan bagi pesakit diabetes, hipertensi, penyakit buah pinggang kronik (CKD) dan penyakit kardiovaskular.
Kaunseling gaya hidup turut disediakan, termasuk panduan pemakanan menggunakan kaedah suku-suku separuh, rawatan untuk berhenti merokok serta panduan pematuhan pengambilan ubat.
-- BERNAMA
