SUKAN

RAGBI: JOHOR SASAR JUARA PIALA AGONG

30/04/2026 12:07 PM

JOHOR BAHRU, 30 April (Bernama) -- Skuad ragbi Johor optimis mampu mendominasi saingan sekali gus muncul juara Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 yang dijadual berlangsung pada 9 Mei hingga 28 Jun depan.

Presiden Kesatuan Ragbi Johor (JRU), Datuk Mohd Noorazam Osman berkata sasaran tersebut tampak realistik dengan kehadiran empat pemain import baharu serta pemain naturalisasi dalam pasukan berkenaan.

Beliau berkata  bekas pemain ragbi Piala Dunia Samoa 2015 dan 2019 Tavaefaga Timothy Nanai akan menguatkan pasukan Johor selain  Kolinio Yabia Tamanitoakula, Adam Brash dan Blake Makiri manakala pemain naturalisasi Weyers Ryno dan Sae Faalupega.

"Tahun lepas, kita  boleh juara tapi tewas kepada PDRM dan edisi kali ini misi untuk menjuarai Piala Agong realistik dan persiapan bermula sejak hujung tahun lepas dengan menyertai Liga Ragbi Singapura.

"Misi kita jelas, iaitu untuk memenangi kejohanan ragbi Piala Agong tahun ini. Kita bukan sekadar bermain tetapi mahu mendominasi dan membawa pulang piala ke Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media dan Pelancaran Pasukan Johor Piala Agong 2026 Edisi Ke-42 di sini malam tadi, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Noorazam berkata persiapan pasukan telah bermula sejak hujung tahun lepas termasuk penyertaan dalam liga di Singapura sebagai platform pembangunan serta pemilihan 40 pemain terbaik dalam senarai awal.

Beliau berkata kehadiran ketua jurulatih Rodney So'oialo yang juga bekas kapten All Blacks, yang sudah melatih sejak tahun lepas telah menampakkan peningkatan dalam sistem latihan dan aspek taktikal permainan.

Dalam pada itu, Mohd Noorazam berkata saingan edisi kali ini lebih sengit apabila menentang Putrajaya pada 9 Mei, berdasarkan kelebihan dari segi struktur pasukan selain saingan pasukan lain yang telah membuat persiapan rapi lebih awal.

Johor diundi dalam Kumpulan B bersama Putrajaya, Negeri Sembilan, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kali terakhir Johor menjulang Piala Agong adalah pada edisi 2017.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan