DUNIA

KAPAL PENGANGKUT PESAWAT AS AKAN TINGGALKAN ASIA BARAT TIDAK LAMA LAGI - LAPORAN

30/04/2026 09:54 AM

WASHINGTON, 30 April (Bernama-Anadolu) -- Kapal pengangkut pesawat USS Gerald R. Ford bersedia untuk berlepas dari Asia Barat dan pulang ke tanah air dalam "hari-hari mendatang" kerana rundingan damai dengan Iran masih terhenti, menurut laporan yang diterbitkan pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi, memetik The Washington Post. 

Memetik beberapa pegawai Amerika Syarikat (AS), laporan itu menyebut Ford, salah satu daripada tiga pengangkut pesawat AS yang kini ditempatkan di Timur Tengah, dijangka tiba semula di pelabuhan asalnya di Virginia sekitar pertengahan Mei selepas penempatan 309 hari yang memecahkan rekod paling lama untuk mana-mana kapal pengangkut pesawat AS moden.

Kapal berkenaan akan meninggalkan USS George H.W. Bush dan USS Abraham Lincoln yang beroperasi di Laut Arab di mana tentera laut AS telah menguatkuasakan sekatan yang menyasarkan kapal yang membawa minyak atau barangan dari pelabuhan Iran.

AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb dan Iran bertindak balas dengan serangan ke atas Israel dan negara serantau lain yang menjadi menempatkan aset AS.

Operasi AS-Israel membunuh lebih 3,300 orang, menurut pihak berkuasa Iran, sebelum Washington dan Tehran mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April, dengan Pakistan sebagai pengantara.

Walaupun pada asalnya dijadualkan tamat pada 22 April, Presiden AS Donald Trump mengumumkan pelanjutan gencatan senjata pada 21 April atas permintaan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan ketua tentera Asim Munir.

-- BERNAMA-ANADOLU


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan