TEHRAN, 30 April (Bernama-Xinhua) -- Menteri Sukan Iran Ahmad Donyamali menggesa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menggantung aktiviti sukan Israel di arena antarabangsa berhubung “jenayah” yang didakwa dilakukan semasa perang selama 40 hari terhadap Iran, lapor Xinhua yang memetik agensi berita IRNA pada Rabu.
Donyamali membuat gesaan itu dalam sepucuk surat kepada Presiden IOC Kirsty Coventry dengan menuntut beliau mengambil pendirian yang “jelas dan bertanggungjawab” terhadap “perang yang dikenakan” oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, menurut laporan IRNA.
Beliau menuduh AS dan Israel melanggar Piagam Olimpik dalam serangan “kejam” terhadap Iran, yang menurutnya mengorbankan ramai atlet Iran dan menyebabkan beberapa kompleks sukan rosak teruk.
Donyamali menggesa IOC mengutuk “jenayah” Israel terhadap Iran serta menghalang pasukan sukan negara itu daripada menyertai acara antarabangsa. Beliau juga meminta IOC menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat dan menilai kerosakan terhadap kemudahan sukan Iran serta hak atlet Iran yang “dilanggar”.
Pada 28 Feb, Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Tehran dan bandar-bandar lain di Iran, mengorbankan pemimpin agung Iran ketika itu Ayatollah Ali Khamenei, komander kanan serta orang awam, selain merosakkan infrastruktur awam negara berkenaan.
Iran kemudian membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan dan aset AS di Asia Barat. Gencatan senjata dicapai antara pihak yang berperang pada 8 April.
-- BERNAMA-XINHUA
