IPOH, 29 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak berjaya merampas sebuah vesel nelayan tempatan kelas C bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut bernilai lebih RM3 juta dalam satu rondaan di kedudukan kira-kira 5.0 batu nautika barat daya Muara Sungai Tiang, Manjung semalam.
Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata dalam rondaan itu, sebanyak empat kru termasuk tekong warga Indonesia berusia antara 20 hingga 47 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata bot itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 selain kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Tangkapan itu dilakukan oleh aset APMM menerusi rondaan di bawah Ops Sayong 1/2018, Ops Pintas 1/2021 dan Ops Tiris 4.0.
“Kesemua barangan yang dirampas termasuk hasil laut anggaran 2,000 kilogram (kg) ikan campur diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak bagi tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohamad Shukri berkata pihaknya tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang yang ditetapkan.
Sebarang aduan dan maklumat berkaitan salah laku di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
-- BERNAMA
