AM

MCMC LAKSANA 636 SIRI AUDIT KUALITI PERKHIDMATAN TALIAN KOMUNIKASI

29/04/2026 12:12 PM

MELAKA, 29 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan 636 siri audit berkaitan kualiti perkhidmatan talian komunikasi di Melaka bermula 2025 hingga 31 Mac lepas.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata tumpuan rapi diberikan kepada kawasan aduan yang diterima daripada komuniti menerusi siri audit berkenaan.

“Sekiranya hasil audit mendapati pihak telco gagal mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS), Notis Pematuhan akan terus dikeluarkan.

“Pihak telco yang menerima notis ini diwajibkan untuk membentangkan pelan penambahbaikan dengan kadar segera, sama ada melalui komitmen menaik taraf peralatan di menara sedia ada atau membina menara komunikasi baharu,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) yang mahu tahu prosedur kerajaan dalam menangani isu gangguan kualiti perkhidmatan talian mudah alih.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata hasil pemantauan dan audit yang dijalankan, 24 lokasi kawasan liputan lemah dikenal pasti memerlukan pembinaan menara telekomunikasi baharu melalui peruntukan Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), yang dijangka siap secara berperingkat sebelum suku kedua 2027.

Beliau berkata 11 lokasi telah siap beroperasi membabitkan Kampung Batu Gajah, Kampung Chenderah, Kampung Air Repat, Kampung Pondok Batang, Kampung Baru Tanah Pinggir Meriang, Kampung Seri Kesang, Kampung Tersusun Datuk Mohd Hidhir, Taman Panglima Pak, Taman Bemban Heights, Asahan dan Kampung Permatang Tulang.

Sementara 13 lokasi dalam pelaksanaan adalah Taman Jus Perdana, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah, Kampung Paya Lebar (Eco Cruise Sungai Linggi), Kampung Kuala Linggi, Kampung Beringin/Parit Melana, Jalan Lesung Batu, Kolej Profesional MARA Ayer Molek, Hutan Botanikal (Pintu Masuk), Hospital Jasin, Pulau Besar, Ambassador Village dan Taman Belia Antarabangsa (Melaka Wonderland).

Menjawab soalan asal dikemukakan Siti Faizah yang mahu tahu mengenai tahap liputan internet 4G dan 5G terkini di kawasan DUN Sungai Rambai serta peratus kawasan yang masih mengalami capaian lemah, Fairul Nizam berkata setakat 31 Mac 2026, liputan rangkaian 4G secara komposit di kawasan berkenaan telah mencapai 100 peratus.

“Bagi rangkaian 5G pula, Digital Nasional Berhad (DNB) telah mencapai 83.2 peratus di kawasan berpenduduk dan 40 peratus untuk liputan 5G yang dibangunkan oleh pihak U Mobile Sdn Bhd (U Mobile).

“Walaupun DUN Sungai Rambai telah mencapai liputan 4G sebanyak 100 peratus, pemantauan berterusan turut dilaksanakan oleh MCMC bagi memastikan pemberi perkhidmatan mematuhi standard kualiti perkhidmatan ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan