AM

PENGURUSAN AIR NEGARA KINI DIPERKUKUH DENGAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI MODEN - ABDUL RAHMAN

28/04/2026 03:56 PM

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Pengurusan air negara kini diperkukuh dengan pengunaan teknologi moden sekali gus membolehkan setiap keputusan dan ramalan dibuat dengan lebih tepat, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Berucap merasmikan Mechanical and Electrical on Water Symposium (MEWS) 2026 di sini hari ini, beliau berkata pengurusan air diperkukuh dengan pemanfaatan teknologi moden seperti machine learning, kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemantauan pintar.

“Melalui integrasi teknologi digital dan analisis data masa nyata, maklumat daripada pelbagai sensor seperti paras air, kadar alir, prestasi pam dan keadaan peralatan dapat dianalisis secara menyeluruh. 

“Keupayaan ini membolehkan ramalan dibuat dengan lebih tepat, seterusnya menyokong keputusan operasi yang lebih pantas dan berkesan,” katanya.

Abdul Rahman berkata perkembangan penggunaan teknologi ini selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) yang menekankan pemodenan infrastruktur, penggunaan teknologi pintar dan pengukuhan inovasi dalam sektor air negara. 

“Dalam konteks ini, jurutera serta pegawai teknikal memainkan peranan penting bukan sahaja dalam aspek operasi, tetapi juga sebagai barisan hadapan yang memastikan sistem sentiasa berada dalam keadaan cekap, stabil dan selamat.

“Secara lebih luas, kepakaran dalam bidang mekanikal dan elektrikal turut menyumbang kepada peningkatan daya tahan sistem air negara dalam menghadapi cabaran seperti perubahan iklim, risiko bencana serta keperluan pembangunan yang semakin pesat,” katanya.

Beliau berkata kejayaan transformasi teknologi dalam sektor air bukan sahaja bergantung kepada sistem dan peralatan tetapi juga kepada modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berintegriti. 

“Jurutera, ahli akademik dan pengamal industri memainkan peranan penting dalam memastikan infrastruktur air sentiasa bersedia menghadapi cabaran,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata pendekatan konvensional yang terlalu bergantung kepada operasi manual serta tindak balas yang reaktif selepas kejadian bencana tidak lagi memadai dalam menghadapi cabaran pengurusan air masa kini.

“Dalam beberapa kejadian banjir sebelum ini, penggunaan pam bergerak telah memainkan peranan amat penting dalam membantu mempercepatkan proses pengalihan air dari kawasan terjejas. 

“Keupayaan untuk menggerakkan pam ini ke lokasi hotspot banjir yang memerlukan tempoh masa singkat telah membantu mengurangkan tekanan kepada sistem saliran sedia ada serta mempercepatkan proses pemulihan bencana kawasan yang terjejas,” katanya.

Beliau berharap simposium itu menjadi pemangkin kepada idea baharu, penyelidikan dan pembangunan teknologi yang lebih inovatif serta berdaya saing. 

MEWS 2026 bertemakan Current to Creation: The Evolution of Hydromechanics, menghimpunkan pakar dalam bidang kejuruteraan, golongan akademik serta pemain industri dalam teknologi hidromekanikal dan elektrikal sektor air negara.

Sementara itu,  Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya serta Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) terus memperkasa pelbagai inisiatif bagi memastikan kemampanan sektor air negara.

Ia terutamanya dalam pemerkasaan teknologi dan inovasi terkini, sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan dan keprihatinan terhadap keperluan rakyat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan