PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Bekas pembantu Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan dijalankan SPRM.
James Chai tiba pada 10 pagi bersama-sama peguamnya difahamkan bagi membantu siasatan kes membabitkan firma semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom, Arm Holdings Plc.
Lelaki itu difahamkan baru tiba dari United Kingdom pagi ini.
Pada 1 April, SPRM memberi tempoh dua minggu kepada James Chai untuk tampil membantu siasatan kes membabitkan firma semikonduktor itu dengan SPRM bersedia menanggung kos penerbangan untuk pulang ke Malaysia.
Pada 16 Feb, SPRM membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Menurut sumber, siasatan dijalankan susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Selain itu, siasatan turut menjurus kepada unsur konflik kepentingan apabila beberapa individu dikatakan telah diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing tersebut selepas berhenti daripada sebuah kementerian.
-- BERNAMA
