SUKAN

PIALA UBER: MALAYSIA MUNCUL NAIB JUARA KUMPULAN SELEPAS TEWAS 1-4 KEPADA JEPUN

28/04/2026 03:59 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar 

HORSENS (Denmark), 27 April (Bernama) -- Malaysia muncul naib juara kumpulan apabila tewas mudah 1-4 kepada bekas juara Jepun dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Piala Uber 2026 di Horsens di sini hari ini.

Kedua-dua pasukan sudah mengesahkan tempat ke suku akhir sebelum perlawanan itu, sekali gus menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tangga kedua kumpulan, manakala Jepun muncul juara Kumpulan B.

Jepun terlebih dahulu mengesahkan kemenangan mutlak 3-0 selepas pemain perseorangan pertama dan kedua serta beregu pertama mereka masing-masing mencatat kemenangan selesa. Bagaimanapun, pasangan muda negara Low Zi Yu–Noraqilah Maisarah Ramdan menghadiahkan satu-satunya mata Malaysia.

Beregu muda itu mencipta kejutan apabila menewaskan gandingan ranking ketujuh dunia Rin Iwanaga–Kie Nakanishi dalam pertarungan tiga set selama 64 minit dengan keputusan 21-17, 12-21, 21-19.

Sebelum itu, pemain perseorangan utama negara K. Letshanaa menampilkan aksi penuh semangat sebelum tewas kepada juara dunia tiga kali, Akane Yamaguchi 19-21, 17-21 dalam aksi pembukaan yang berlangsung selama 41 minit.

Jepun meraih mata kedua menerusi pasangan ranking keenam dunia Yuki Fukushima–Mayu Matsumoto yang menewaskan gandingan Malaysia M. Thinaah–Ong Xin Yee 21-9, 21-9 dalam tempoh 35 minit.

Pemain perseorangan kedua negara Wong Ling Ching turut gagal menghalang pemain ranking kesembilan dunia Tomoka Miyazaki apabila tewas 16-21, 13-21 dalam tempoh 46 minit.

Bagaimanapun, selepas kemenangan Zi Yu–Noraqilah ke atas Iwanaga–Nakanishi, pemain profesional Goh Jin Wei hampir menghadiahkan mata kedua buat Malaysia dalam aksi terakhir menentang Riko Gunji.

Selepas memenangi set pertama 21-19, Jin Wei terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 3-4 pada set kedua dipercayai akibat ketidakselesaan di bahagian perut.

Malaysia dijangka berdepan cabaran getir di suku akhir pada Khamis ini apabila menentang salah satu daripada empat juara kumpulan, iaitu China, Indonesia, Korea Selatan atau Jepun.

Undian baharu peringkat suku akhir akan dilakukan selepas saingan kumpulan berakhir Rabu ini, dengan semua juara kumpulan akan diletakkan sebagai pilihan utama.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan