BANGI, 27 April (Bernama) -- Inisiatif Rumah Bangsa merupakan wadah untuk memudahkan golongan muda menyertai UMNO tanpa melalui proses yang rumit, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa itu berkata inisiatif berkenaan tidak terhad kepada soal mengembalikan mana-mana individu atau bekas ahli untuk menyertai parti berkenaan.
“(Sebaliknya), Rumah Bangsa adalah sebagai satu wadah untuk memudahkan orang-orang muda menyertai UMNO tanpa perlu ikut proses-proses yang mungkin tidak menggalakkan mereka untuk menyertai parti ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, hari ini.
Mohamed Khaled, yang juga Menteri Pertahanan, berkata UMNO juga akan memperluas fungsi Rumah Bangsa sebagai satu wadah untuk individu mengemukakan pandangan atau cadangan bagi memajukan negara dan juga bangsa.
Pada Jumaat lepas, Ahli Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata kira-kira 60 peratus atau 6,009 daripada lebih 10,000 permohonan diterima untuk menyertai UMNO sebagai ahli baharu menerusi inisiatif Rumah Bangsa terdiri daripada golongan muda berusia bawah 40 tahun.
Ahmad, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, berkata permohonan yang diterima termasuk melalui sayap Wanita dan Puteri.
Rumah Bangsa ialah inisiatif penyatuan semula UMNO yang diperkenalkan oleh Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyatukan orang Melayu dan menerima kembali bekas ahli menyertai parti.
Pada 18 April lepas, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin antara 6,252 bekas pimpinan dan ahli peringkat Bahagian serta Cawangan dari seluruh negara yang diterima kembali menyertai UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
-- BERNAMA
