BANGI, 27 April (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperhebat program peralihan bagi anggota tentera yang bakal menamatkan perkhidmatan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada peserta mendapat pekerjaan dalam sektor industri dan syarikat swasta.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata MINDEF melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) kini menekankan latihan peralihan berasaskan industri dengan anggota perlu mengikuti program latihan yang memenuhi kehendak pasaran pekerjaan semasa.
Antara beberapa inisiatif dilaksanakan MINDEF bagi mempersiapkan veteran adalah program PROWIRA Readiness-to-Work, Program Reskilling and Upskilling Veteran dan Program JanaVeteran.
“(Dulu) setiap kali selepas latihan (peralihan) hanya 20 hingga 30 peratus yang dapat kerja.
“Kini kita sasarkan jika ada 5,000 anggota setahun yang perlu melalui peralihan untuk berpencen, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada mereka memperoleh pekerjaan dalam industri dan syarikat dengan pendapatan bermaruah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata kerajaan turut membiayai pengajian diploma bagi anggota yang masih berkhidmat sebagai persediaan sebelum mereka menamatkan perkhidmatan.
“Kerajaan membayar kos untuk mendapat diploma sekurang-kurangnya RM6,500 dan untuk tahun ini, kita sasarkan seramai 1,000 yang sedang berkhidmat mendapat diploma,” katanya.
Mohamed Khaled berkata kerajaan juga akan menanggung kos program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) untuk veteran bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran pekerjaan.
Dalam sidang media berasingan, Mohamed Khaled berkata MINDEF turut bekerjasama dengan syarikat seperti Boustead Plantations Bhd bagi membuka peluang pekerjaan kepada veteran yang berminat menceburi bidang pertanian.
“Kita ada pelbagai program pertanian yang akan kita lakukan bersama Bousted Plantation. Jadi, mana-mana veteran yang ada tanah mereka boleh menyertai program tanaman bernilai komersial seperti halia, lada dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA
