SINGAPURA, 26 April (Bernama) -- Singapura dan Jepun memperingati ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada Ahad dengan pertukaran surat ucapan tahniah antara Perdana Menteri Singapura (PM) Lawrence Wong dan PM Jepun Sanae Takaichi.
Hubungan diplomatik tersebut diwujudkan pada 26 April 1966 dan sejak itu kedua-dua negara menjadi rakan kongsi yang bekerjasama dalam menangani cabaran serantau dan global.
Dalam suratnya, Wong berkata hubungan Singapura-Jepun semakin erat, menjadi perkongsian yang kukuh dan pelbagai sejak enam dekad lepas, bertunjangkan hubungan rapat antara rakyat, kerjasama substantif dan penumpuan kepentingan strategik.
"Usaha sama ekonomi kita telah menjadi tonggak utama. Pelaburan dan teknologi Jepun menyumbang dengan ketara kepada pembangunan awal Singapura.
"Hari ini, disokong oleh Perjanjian Perkongsian Ekonomi Jepun-Singapura yang ditandatangani pada 2002, negara kita adalah antara rakan dagang dan pelabur terbesar antara satu sama lain," katanya.
Salinan surat beliau dikongsikan Kementerian Luar Singapura dalam portal rasminya pada Ahad.
Wong berkata peningkatan hubungan Singapura-Jepun sebagai Perkongsian Strategik semasa lawatannya ke Jepun pada Mac menyediakan rangka kerja yang kukuh untuk memandu kerjasama masa depan dalam bidang seperti ekonomi hijau dan digital, serta rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi
“Pada masa sama, kita boleh terus bekerjasama dalam rangka kerja plurilateral seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.
"Usaha ini akan membantu menegakkan perintah antarabangsa berasaskan peraturan dan memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau," tambah Wong.
Sementara itu, Takaichi dalam suratnya menyatakan peningkatan hubungan Jepun-Singapura menunjukkan kerjasama dua hala yang erat, yang dibina selama bertahun-tahun dan kini berkembang menjadi fasa baharu.
"Mengambil kesempatan daripada pelbagai acara ulang tahun yang akan diadakan tahun ini, saya amat berharap agar pertukaran dan persefahaman bersama antara rakyat kita akan diperkukuh, sekali gus meletakkan asas teguh untuk memajukan lagi Perkongsian Strategik.
"Saya berharap dapat bekerjasama dengan Yang Amat Berhormat untuk memperdalam kerjasama Jepun-Singapura menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kita pada 2036," katanya.
-- BERNAMA
