MELAKA, 26 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka melalui Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) membelanjakan hampir RM9.39 juta untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, pada tahun lepas.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata antara kemudahan tersebut ialah jalan dan sistem perparitan di taman perumahan bagi memastikan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat di kawasan DUN berkenaan.
"Satu daripada projek yang dilaksanakan di bawah peruntukan itu ialah menaik taraf sistem perparitan di Taman Melawis, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bistari dan Taman Seri Jati dengan kos keseluruhan bernilai hampir RM1.7 juta.
"Alhamdulillah, melalui pelaksanaan projek ini, kesan banjir kilat di kawasan tersebut yang sebelum ini dikategorikan sebagai hotspot (kawasan panas) banjir telah berjaya diminimumkan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Keroh yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh Kerk Chee Yee.
Selain itu, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga sedang melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Putat yang menelan belanja sebanyak RM24.5 juta bagi meminimumkan risiko dan kesan banjir kilat di kawasan DUN tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata peniaga kecil di Ayer Keroh juga turut menerima manfaat daripada kerajaan negeri menerusi projek pembinaan ruang niaga terbuka di tapak Laman Niaga Pinggiran Sungai MITC yang bernilai RM573,000.
"Projek berkenaan menawarkan sebanyak 40 tapak niaga dan sedang dilaksanakan oleh MPHTJ dan pembinaannya dijangka siap pada penghujung Mei ini," katanya.
Memandangkan Ayer Keroh merupakan pintu masuk dan laluan utama pelancong ke Melaka beliau berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian utama terhadap aspek keceriaan dan kebersihan di kawasan tersebut.
Bagi tujuan itu, katanya, MPHTJ telah membelanjakan lebih RM3.7 juta khususnya untuk mentransformasi landskap di kawasan DUN berkenaan dari 2004 hingga tahun ini.
Rais berkata bagi aspek pendidikan pula, kerajaan negeri sedang membangunkan Kompleks Sekolah Batu Berendam bernilai hampir RM213 juta yang kini dalam peringkat pra-pelaksanaan manakala pembinaan Tabika KEMAS Taman Ayer Keroh Heights yang dianggarkan menelan kos RM2.2 juta di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dijangka bermula pada Mei ini.
"Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM45 juta bagi membina Balai Polis Ayer Keroh yang baharu dan proses perolehan dijangka bermula Februari tahun depan manakala Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan berjumlah RM580,000 bagi kerja menaik taraf Klinik Kesihatan Ayer Keroh yang dijangka siap pada September ini," katanya.
Sementara itu, Kerk berkata sebanyak 47 program akan dilaksanakan sepanjang program WRUR bermula hari ini hingga 2 Mei bagi menyantuni pelbagai peringkat masyarakat di DUN tersebut.
"Setakat ini, kita telah menerima lebih 100 aduan daripada penduduk melibatkan pelbagai isu atau masalah seperti sistem perparitan, jalan berlubang serta penyelenggaraan pokok dan setiap masalah ini akan diselesaikan dengan segera oleh agensi terlibat," katanya.
-- BERNAMA
