KEPALA BATAS, 25 April (Bernama) -- Format latihan kepada Komuniti MADANI akan ditambah baik agar lebih berbentuk simulasi bagi memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian situasi semasa selain berupaya menangkis maklumat palsu dan fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Jadi saya telah meminta Ketua Pengarah JAPEN (Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan) untuk menambah baik format bagi program-program latihan untuk Komuniti MADANI. Ia harus berbentuk simulasi, iaitu kita diberikan maklumat dan sesama kita perlu ada memainkan peranan sebagai good guy (orang baik), ada yang perlu memainkan peranan sebagai platform.
“Sebab realitinya, apabila kita turun padang dan menyampaikan mesej, serta bertemu orang di mana sahaja, jika kita mahu menyampaikan sesuatu, pertama kita perlu ada keberanian, kedua kita mesti mempunyai maklumat dan ketiga mesti menyampaikannya dengan cara yang mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program JIWA MADANI: Majlis Penyerahan Watikah Ketua Komuniti MADANI Negeri Pulau Pinang di Kampung Permatang Kerai Kecil di sini hari ini.
-- LAGI
FAHMI-KOMUNITI MADANI 2 (AKHIR) KEPALA BATAS
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.
Fahmi berkata mulai sekarang, Komuniti MADANI juga perlu mengadakan aktiviti penyampaian maklumat mengenai dasar kerajaan kepada rakyat secara aktif setiap minggu.
“Komuniti MADANI perlu memikirkan cara-cara yang unik dan kritis untuk menyampaikan maklumat. Saya ada beberapa idea, nanti kita susun bersama Ketua Pengarah JAPEN,” katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 116 Ketua Komuniti MADANI Negeri Pulau Pinang menerima watikah pelantikan bagi tempoh 2026 hingga 2027.
-- BERNAMA
TAG: Fahmi Fadzil, Komuniti MADANI, latihan, maklumat, penyampaian, JAPEN
RHO MHA SMK
