Oleh Ahmad Erwan Othman
KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Kenaikan harga bahan mentah berasaskan petroleum susulan krisis bekalan tenaga dilihat mampu menjadi pemangkin terhadap usaha menamatkan kebergantungan kepada pembungkusan plastik sekali guna, sekali gus mempercepatkan sasaran Pelan Hala Tuju ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.
Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Lestari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata “tekanan poket” atau faktor kos plastik terbukti lebih berkesan dalam mengubah perilaku masyarakat dan industri secara serta-merta, berbanding kempen kesedaran yang mengambil masa lama.
Beliau berkata memandangkan plastik merupakan bahan terbitan minyak mentah dan gas asli, lonjakan harga bahan mentah asas untuk pembuatan plastik iaitu resin secara langsung menjadikan produk alternatif kepada plastik yang lebih mesra alam, lebih kompetitif dan relevan dalam pasaran semasa.
"Secara jujur, tekanan poket lebih berkesan. Kita sudah lihat melalui caj beg plastik 20 sen, dalam masa singkat orang ramai mula bawa beg sendiri bukan kerana tiba-tiba cintakan alam sekitar tetapi kerana merasai kesan kepada dompet mereka.
"Apabila kos plastik konvensional naik, alternatif produk mesra alam secara semula jadi menjadi lebih kompetitif. Hujah kos yang selama ini menjadi halangan utama untuk industri beralih kepada bioplastik, kini semakin lemah. Ini peluang yang jarang datang untuk kita manfaatkan, bergantung kepada ketegasan kerajaan, bukan sekadar tekanan pasaran," katanya kepada Bernama.
Pelan Hala Tuju ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 merupakan panduan strategik negara dalam mengurangkan pencemaran plastik secara berperingkat melalui pelbagai inisiatif dengan menyasarkan produk plastik tertentu seperti beg, straw, dan polistirena.
Walaupun hasratnya jelas iaitu untuk menangani pencemaran plastik secara holistik, wujud jurang yang ketara antara dasar dan pelaksanaan menjadikan ia satu cabaran besar buat Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Mengenai peralihan industri, Muhammad Zaly berkata penggunaan bahan kitar semula kini bukan lagi sekadar pilihan "hijau", sebaliknya merupakan keputusan pengurusan risiko bagi melindungi margin keuntungan perniagaan susulan turun naik harga petrokimia yang tidak menentu.
Beliau turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memantau harga bahan mentah industri seperti resin plastik secara proaktif bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga produk melebihi kenaikan kos sebenar menerusi fenomena "penghantaran harga tidak simetri".
Menyentuh kesediaan industri bioplastik negara pula, beliau berkata Malaysia mempunyai bahan mentah berlebihan seperti sisa sawit, tandan buah kosong dan serat mesokarp yang berpotensi dijadikan asas bioplastik berkualiti tinggi, namun realitinya masih wujud jurang yang luas antara hasil penyelidikan di peringkat universiti serta SIRIM dengan pengeluaran komersial berskala besar.
"Kalau sektor pembinaan dan peruncitan beralih secara besar-besaran (kepada produk mesra alam), industri bioplastik tempatan kita tidak mampu menampung permintaan. Ia memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun lagi dengan pelaburan serius dan sokongan dasar yang konsisten untuk benar-benar mampu menampung permintaan besar jika sektor peruncitan beralih sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata situasi krisis bekalan tenaga kini menonjolkan kebenaran bahawa pergantungan keterlaluan terhadap plastik sekali guna adalah tidak mampan dan terdedah kepada kejutan ekonomi luar.
Beliau berpandangan peniaga dan peruncit perlu memimpin perubahan dengan menghentikan penggunaan bekas plastik bawa pulang serta pembalut berlebihan, manakala pengguna pula perlu digalakkan secara aktif untuk membawa bekas sendiri bagi mengamalkan budaya guna dan isi semula.
Bagi memastikan peralihan tersebut berjaya, beliau menyarankan kerajaan supaya mengharamkan plastik sekali guna yang tidak perlu, menyediakan insentif cukai pragmatik bagi pelaburan industri bioplastik tempatan serta mempermudahkan proses pensijilan produk alternatif bagi mengurangkan kerenah birokrasi.
Mohideen juga berkata pendekatan yang diselaraskan antara penggubal dasar, pemain industri dan pengguna adalah penting bagi membina daya tahan ekonomi dan bergerak ke arah ekonomi kitaran yang lebih bertanggungjawab untuk generasi akan datang.
-- BERNAMA
