AM

KERAJAAN NEGERI SELANGOR PERJELAS STATUS TANAH PERMATANG KUMBANG DI PUCHONG

24/04/2026 11:04 PM

SHAH ALAM, 24 April (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini berkata tanah seluas 168 ekar di Permatang Kumbang, Pusat Bandar Puchong bukanlah kawasan hutan simpan kekal seperti didakwa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Beliau berkata hal ini kerana tanah itu, yang terletak berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam, Kinrara telah dinyahwarta pada 1926, iaitu kira-kira 100 tahun lepas. 

“Ketika itu, Puchong dikenali sebagai Kampung Pulas dan Malaysia sedang dijajah oleh British serta dinamakan sebagai British Malaya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan susulan pertemuan beliau dengan wakil penduduk kawasan Puchong yang ingin mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan tidak berasas mengenai status tanah berkenaan.

Sejumlah 14 persatuan penduduk terlibat dalam sesi itu, yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara Ng Sze Han, bagi mendengar pandangan dan maklum balas mereka susulan penyebaran maklumat palsu secara berterusan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Amirudin berkata pentadbirannya juga tidak pernah meluluskan sebarang pembangunan di kawasan itu sebaliknya pada1996, kerajaan negeri ketika itu meluluskan pemberimilikan tanah kerajaan kepada dua syarikat iaitu Citrasama Projek Sdn Bhd dan Metroway Sdn Bhd untuk pembangunan perumahan kos rendah. 

“Permohonan kebenaran merancang oleh pemaju telah ditolak pada 2003 oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya, yang ketika itu dikenali Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), kerana 75 peratus kawasan itu dikategori sebagai cerun kelas III dan kelas IV, iaitu cerun melebihi 25 darjah dan tidak sesuai untuk dibangunkan.

“Susulan situasi ini, kerajaan negeri pada 18 Ogos 2010 telah memutuskan supaya projek ini dibatalkan serta menarik semula pemberimilikan tanah dan berikutan itu, pemaju terbabit telah mengambil kes mahkamah terhadap MPSJ dan kerajaan negeri melalui semakan kehakiman pada 2011, dan kes ini telah dirujuk sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan pada 2017,” katanya.

Amirudin juga berkata keputusan di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berpihak kepada MPSJ, yang antaranya mengesahkan bahawa keputusan Pihak Berkuasa Tempatan untuk tidak membenarkan pembangunan itu adalah tepat kerana keadaan cerun.

Beliau berkata MPSJ berpegang kepada keputusan bahawa tanah itu tidak selamat untuk dibangunkan bagi tujuan komersial ataupun perumahan kerana berada pada topografi cerun dan perkara ini disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mengenai isu harga tanah itu yang kononnya dijual di bawah harga pasaran, iaitu RM13.80 bagi satu kaki persegi bersamaan dengan RM101 juta, Amirudin berkata susulan keputusan kerajaan negeri membatalkan projek perumahan pada 2012, tanah itu dihasratkan untuk dijual melalui proses tender terbuka.

“Kemudian, juruperunding hartanah telah dilantik untuk menilai harga pasaran tanah pada 2012 dengan nilai yang dimuktamadkan ialah RM13.02 bagi satu kaki persegi ataupun RM95.3 juta secara keseluruhan.

“Tiga syarikat telah terlibat dalam proses tender terbuka, dan keputusan telah diambil untuk menjual tanah tersebut pada harga RM101 juta, iaitu kadar 5.90 peratus melebihi harga penilaian,” katanya.

Amirudin juga berkata beliau telah menyatakan pendirian kerajaan negeri berhubung isu itu dan membetulkan persepsi semua dakwaan tidak berasas yang disebarkan bagi tujuan politik menerusi pertemuan bersama wakil-wakil persatuan penduduk. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan