SUKAN

MELAKA FC PERBAIKI KEDUDUKAN, FOKUS ELAK PENAMAT TERCOROT

24/04/2026 08:21 AM

MELAKA, 24 April (Bernama) -- Melaka FC menghidupkan peluang untuk keluar daripada zon tercorot Liga Super selepas mencatat kemenangan penting 1-0 ke atas Sabah FC di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Jurulatihnya E Elavarasan berkata kemenangan tersebut menjadi suntikan moral terbaik buat pasukan yang kini berbaki empat perlawanan bagi memperbaiki kedudukan sebelum musim berakhir pada 15 Mei ini.

Beliau berkata peluang masih terbuka luas buat skuad kendaliannya untuk mengutip mata maksimum dalam baki aksi, sekali gus mengelak menamatkan saingan di tangga terbawah liga.

“Ini kemenangan yang sangat penting kepada kami dalam situasi sekarang. Tiga mata ini memberi keyakinan kepada pemain, tetapi kami tidak boleh terlalu selesa,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Kemenangan hasil jaringan pemain import Dino Kalesic itu menyaksikan Melaka FC melonjak ke tangga ke-10 berbanding kedudukan ke-12 sebelum ini.

Mengulas baki perlawanan, Elavarasan berkata pasukannya bakal berdepan cabaran getir termasuk menentang juara liga Johor Darul Ta'zim FC (JDT) di laman sendiri pada 28 April ini.

Selain itu, Melaka FC dijadual bertemu Negeri Sembilan FC di tempat lawan sebelum menamatkan saingan di laman sendiri menentang Kuching City FC dan Imigresen FC.

“JDT adalah pasukan terbaik dan perlawanan itu pasti sukar, namun kami akan fokus satu demi satu perlawanan.

“Buat masa ini, pemain perlu diberi ruang untuk rehat dan pulih sebelum membuat persiapan rapi menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.

Beliau juga menegaskan fokus utama pasukan ketika ini adalah memastikan mereka tidak menamatkan musim di kedudukan tercorot, sambil berharap momentum kemenangan dapat diteruskan dalam baki perlawanan. 

Dalam aksi semalam, hasrat Sabah FC mencatatkan satu lagi kemenangan selepas menjulang Piala Cabaran lima hari lepas tidak kesampaian, apabila tewas 0-1 di tangan Melaka FC. 

Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan Kalesic pada minit ke-68.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan