SUKAN

PIALA UBER: CHONG WEI YAKIN THINAAH MAMPU KEMUDI CABARAN MALAYSIA DI HORSENS

23/04/2026 07:47 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar 

HORSENS (Denmark), 23 April (Bernama) -- Skuad Piala Uber Malaysia menerima suntikan semangat tepat pada masanya apabila legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei memberikan kata-kata motivasi menerusi panggilan video, sekali gus menyuntik keyakinan kepada kapten pasukan, M. Thinaah untuk menggalas tanggungjawab lebih besar susulan ketiadaan pasangan beregunya Pearly Tan.

Ketiadaan Pearly akibat kecederaan dijangka memberi kesan besar kepada skuad wanita negara menjelang saingan Pusingan Akhir Piala Uber 2026 yang bermula esok hingga 3 Mei di Forum Horsens, Denmark.

Situasi itu meletakkan harapan lebih tinggi ke atas bahu Thinaah untuk memimpin cabaran pasukan dalam kejohanan berprestij berpasukan itu.

Chong Wei menzahirkan keyakinan bahawa pemain berpengalaman itu mampu mengemudi skuad negara dengan baik, khususnya dalam suasana pertandingan berintensiti tinggi.

“Awak (Thinaah) pemain paling senior dan saya tahu awak sangat berpengalaman. Saya harap awak dapat menjaga semua pemain, termasuk pemain muda.

“Walaupun kita tiada Pearly, kita masih ada Thinaah. Saya percaya awak boleh memimpin pasukan ini dan saya yakin dengan awak,” katanya menerusi panggilan video kepada pasukan seperti dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini.

Minggu lepas, Pearly yang berusia 26 tahun terpaksa menarik diri daripada saingan Piala Uber akibat kecederaan belakang berulang, sekali gus menyaksikan BAM menggantikan tempatnya dengan pemain beregu wanita negara Chong Jie Yu.

Turut disenaraikan dalam beregu wanita ialah Ong Xin Yee-Carmen Ting serta Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah.

Bagi acara perseorangan pula, skuad negara mempertaruhkan K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Goh Jin Wei.

Dalam pada itu, Chong Wei yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan serta meminta mereka beraksi tanpa tekanan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu turut memberi jaminan bahawa seluruh rakyat Malaysia berada di belakang pasukan, selain menegaskan sokongan sentiasa tersedia daripada jurulatih sekiranya diperlukan sepanjang kejohanan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara enam kali, Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.

Skuad negara akan menentang Turkiye pada aksi pembukaan, Sabtu ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan