AM

RUU PERKUKUH TADBIR URUS KOPERASI DIBENTANGKAN DI PARLIMEN TAHUN INI - SIM

23/04/2026 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan membentangkan rang undang-undang (RUU) baharu di Parlimen tahun ini bagi memperkukuh tadbir urus dan integriti gerakan koperasi negara.

Menteri berkenaan Steven Sim berkata RUU itu melibatkan semakan semula akta-akta berkaitan, termasuk penambahbaikan aspek pengurusan bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti.

Beliau berkata langkah KUSKOP itu penting bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan, selain memperkukuh kepercayaan terhadap institusi koperasi.

Sim berkata RUU berkaitan koperasi itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) di Menara Kembar Bank Rakyat yang dipengerusikannya hari ini.

“Kita dalam proses untuk melihat semula dan menyemak akta-akta berkaitan ke arah pengurusan dan tadbir urus yang lebih baik bagi mengelakkan perkara-perkara tidak diingini berlaku.

“Selain itu, ada cadangan supaya pemimpin-pemimpin gerakan koperasi mengikuti kursus tertentu, sepertimana lembaga pengarah pada peringkat korporat yang perlu menjalani latihan berkaitan tadbir urus dan integriti,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini.

Mengulas lanjut, Sim berkata penggubalan undang-undang baharu itu kini berada pada peringkat penelitian Pejabat Peguam Negara.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan pihaknya membuka lebih 300 kertas siasatan melibatkan koperasi sejak 2020, dengan lebih 70 individu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dan salah guna kuasa.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan