DUNIA

SOLIDARITI GLOBAL TERHADAP PALESTIN PERLU MELANGKAUI SIMBOLISME, KATA PELAPOR KHAS PBB

22/04/2026 11:52 PM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol 

BRUSSELS, 22 April (Bernama) -- Usaha solidariti global terhadap Palestin perlu beralih daripada sekadar simbolisme kepada tindakan yang mampu membongkar sistem yang mengekalkan keganasan dan penderitaan berterusan, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pelapor Khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di Wilayah Palestin Francesca Albanese berkata inisiatif berulang seperti flotila bantuan perlu dinilai semula kerana usaha seumpama itu selama ini menunjukkan hasil terhad tanpa kesan struktur yang lebih luas.

Beliau menegaskan bahawa solidariti perlu diterjemahkan kepada hasil nyata untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin dan bukan sekadar tindakan bersifat “performatif”.

“Kita tidak boleh sekadar bersifat simbolik. Ia melibatkan usaha mengganggu infrastruktur material yang menyokong sistem itu secara terselaras,” katanya pada Kongres Parlimen Global Sumud sulung yang diadakan di sini pada Rabu.

Albanese menekankan keperluan penyelarasan, kepimpinan dan keselarasan yang lebih kukuh dengan usaha lama masyarakat sivil termasuk advokasi undang-undang dan mekanisme tekanan ekonomi seperti boikot, pelucutan pelaburan dan sekatan (BDS).

“Tumpuan perlu diberikan kepada usaha mengganggu sistem yang mengekalkan konflik, termasuk rantaian bekalan dan struktur sokongan institusi,” tambahnya.

Pengerusi Delegasi Parlimen Eropah bagi Hubungan dengan Palestin Lynn Boylan mengkritik kegagalan komuniti antarabangsa bertindak tegas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

Beliau berkata Semenanjung Gaza berdepan kekurangan serius bekalan makanan, air dan perubatan, selain peningkatan wabak penyakit akibat sekatan berpanjangan Israel.

“Sekatan itu mencabuli maruah manusia,” katanya sambil menambah perkembangan di Tebing Barat, termasuk peluasan penempatan haram dan keganasan, mencerminkan isu sistemik yang lebih luas.

Sementara itu, Setiausaha Agung Inisiatif Nasional Palestin Mustafa Barghouti berkata tindakan segera diperlukan bagi menghentikan pencerobohan dan menangani keadaan yang semakin merosot di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

Barghouti turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan melibatkan peneroka haram Israel di Tebing Barat serta layanan terhadap tahanan di penjara rejim itu.

Beliau menggesa tekanan global dipertingkatkan, khususnya melalui langkah ekonomi dan politik.

“Hanya dengan menukar solidariti kepada tindakan konkrit barulah perubahan sebenar dapat dicapai,” katanya.

Acara sehari itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Flotila Global Sumud dan dihadiri lebih 300 wakil kerajaan, pakar serta pertubuhan masyarakat sivil dari seluruh dunia.

Ia menyeru pemimpin politik memperkukuh perlindungan kemanusiaan secara segera, mempercepat pengiktirafan pelbagai hala terhadap koridor maritim kemanusiaan ke Gaza yang disahkan PBB, serta memajukan usaha perundangan di negara masing-masing termasuk langkah menghentikan pemindahan senjata ke Israel.

Acara itu juga bertujuan menghasilkan “Deklarasi Brussels” yang menggariskan tuntutan utama termasuk akses kemanusiaan tanpa halangan, autonomi Palestin dalam usaha pembinaan semula serta kebertanggungjawaban di bawah undang-undang antarabangsa.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 72,560 orang terbunuh dan lebih 170,000 cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023.

Serangan berterusan walaupun gencatan senjata yang dilaksanakan sejak Oktober tahun lepas telah menyebabkan kemusnahan meluas di wilayah itu termasuk sistem kesihatan dan infrastruktur kritikal.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan