AM

JOHOR AMBIL TINDAKAN TEGAS, KELUAR NOTIS HENTI KERJA TERHADAP PEMAJU PUNCA BANJIR

22/04/2026 10:45 PM

JOHOR BAHRU, 22 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor mengambil tindakan tegas terhadap dua pemaju hartanah di Johor Bahru dan Kulai, susulan kegagalan mereka mematuhi keperluan teknikal serta kawalan saliran, yang dikenal pasti menjadi punca kejadian banjir di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat, telah mengeluarkan Notis Henti Kerja Serta Merta selama 14 hari kepada kedua-dua pemaju tersebut di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Beliau berkata tindakan itu, bertujuan menghentikan segera aktiviti pembinaan sehingga langkah pembetulan dan mitigasi dilaksanakan sepenuhnya, bagi mengelakkan risiko banjir berulang kepada penduduk setempat.

“Kerajaan negeri memandang serius kejadian banjir ini. Pembangunan yang dijalankan di negeri ini mesti mematuhi sepenuhnya syarat teknikal yang ditetapkan, termasuk aspek pengurusan saliran, sistem perparitan, kawalan hakisan serta pelaksanaan langkah mitigasi banjir yang berkesan.

“Kegagalan mematuhi perkara ini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Jafni berkata meskipun kerajaan negeri sentiasa menyokong pembangunan yang mampu merancakkan ekonomi dan menarik pelaburan ke Johor, namun pendirian kerajaan adalah jelas, iaitu kepentingan dan keselamatan rakyat tidak boleh dikorbankan.

“Pembangunan yang baik ialah pembangunan yang seimbang, berdaya tahan dan tidak menjejaskan kehidupan komuniti setempat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran tegas kepada semua pemaju agar sentiasa mematuhi garis panduan dan kelulusan yang telah ditetapkan.

“Mana-mana pembangunan yang menyebabkan kejadian banjir kilat akan diberikan notis berhenti kerja serta-merta selama 14 hari, sehingga pelaksanaan mitigasi banjir selesai dan dijamin tidak berulang,” katanya.

Mohd Jafni berkata kerajaan negeri melalui 16 PBT akan terus memperketat pemantauan di lapangan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang lebih tegas, termasuk menghentikan projek, mengenakan kompaun atau tindakan lanjut sekiranya berlaku pelanggaran.

Beliau berkata kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap pembangunan di Johor dilaksanakan secara bertanggungjawab, mampan dan selaras dengan agenda Maju Johor, dengan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan