EKONOMI

SEMAKAN FI JAMIN KEMAMPANAN KEWANGAN JANGKA PANJANG SC - PENGERUSI

22/04/2026 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Semakan fi yang dilaksanakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini bertujuan memastikan kewangan badan pengawal selia itu mampan untuk jangka panjang berikutan struktur pendapatan semasanya adalah berkait rapat dengan aktiviti pasaran, menurut SC.

Pengerusinya Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pendapatan suruhanjaya itu sebahagian besarnya berubah-ubah berikutan levi yang dikenakan adalah berdasarkan nilai transaksi dalam pasaran modal.

“Kami tidak mengubahnya selama 30 tahun. Saya berpendapat adalah wajar untuk kita laksanakannya ketika ini, dan kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak (melakukannya) untuk tujuan keuntungan,” katanya kepada pemberita semasa taklimat Laporan Tahunan SC 2025 di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata pendapatan tambahan itu akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan, termasuk melalui penggunaan teknologi yang lebih meluas.

Pengarah Urusan SC Datin Paduka Azalina Adham pula berkata struktur berasaskan levi mendedahkan SC kepada turun naik berikutan pendapatan yang berubah-ubah mengikut keadaan pasaran manakala fungsi pengawalseliaan teras masih kekal.

Beliau berkata kerja-kerja penyeliaan, penguatkuasaan dan siasatan tidak berubah mengikut kitaran pasaran sekali gus menjadikan model pendapatan yang terlalu bergantung kepada aktiviti dagangan yang kurang mampan.

Sehubungan itu, semakan itu turut bertujuan mengimbangi semula struktur fi dengan memasukkan elemen fi tetap dan fi tahunan bagi mengurangkan kebergantungan kepada turun naik yang dipacu pasaran, katanya.

SC telah melaksanakan peraturan fi yang disemak semula berkuat kuasa 1 Jan 2026.

Bagi memudahkan peralihan industri yang lancar, SC akan melaksanakan tempoh peralihan selama tiga tahun bermula 2026 hingga 2028, dengan pengurangan sebanyak 50 peratus akan dikenakan ke atas fi tahunan berubah-ubah manakala pengurangan 20 peratus terhadap fi transaksi berkaitan produk, aktiviti pengumpulan dana dan fi berkaitan produk lain.

Konsesi itu juga akan dikenakan ke atas fi tahunan yang perlu dibayar bagi dana unit amanah dan dana borong yang akan tertakluk kepada pengurangan sebanyak 20 peratus.

Sementara itu, Azalina berkata SC berada di landasan untuk mencapai RM2 bilion aset di bawah pengurusan (AUM) melalui Rangka Kerja Insentif Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) menjelang akhir 2026.

Beliau berkata suruhanjaya itu telah menerima permohonan yang memberangsangkan, dengan permohonan yang diterima kini sedang melalui proses penilaian oleh Kementerian Kewangan (MOF).

“Kami yakin dapat mencapai jumlah itu (RM2 bilion). Semakin banyak permohonan telah dikemukakan kepada MOF,” kata Azalina sambil memaklumkan pemohon perlu menyediakan struktur penting termasuk rangka kerja tadbir urus keluarga dan pengaturan amanah sebelum menghantar permohonan rasmi.

Setakat ini, sembilan kelulusan bersyarat telah diberikan, mewakili hampir RM670 juta dalam anggaran AUM.

--BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan