Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin & Siti Nur Athirah Abdullah
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Amalan memanfaatkan ruang kediaman untuk penanaman sayur dilihat sebagai langkah praktikal dalam membantu komuniti bandar mengurangkan kos sara hidup, sekali gus menampan kesan krisis bekalan global.
Konsep berbudi kepada tanah yang diterapkan menerusi inisiatif kebun komuniti bukan sahaja membolehkan sumber makanan dihasilkan sendiri, malah mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar yang terdedah kepada peningkatan kos logistik dan tenaga.
Pengerusi Kelab Pencinta Alam dan Rekreasi Kolam Takungan Banjir Sungai Midah Mohd Zainuddin Amran berkata usaha itu digerakkan dengan penglibatan lima komuniti berhampiran, iaitu Kampung Malaysia Raya, Kampung Malaysia Tambahan, Pangsapuri Sri Malaysia, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Malaysia dan penduduk sekitar Desa Petaling.
Beliau berkata kawasan yang dahulunya terbiar dan tidak dapat diakses kini dimanfaatkan sebagai ruang komuniti termasuk untuk aktiviti pertanian bandar.
“Dulu kawasan ini berkunci dan sering menjadi lokasi aktiviti tidak sihat, namun kita hidupkan semula dengan aktiviti komuniti termasuk bercucuk tanam,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohd Zainuddin berkata aktiviti pertanian mula berkembang ketika pandemik COVID-19 pada 2020 apabila penduduk mengambil inisiatif menanam sayur sebagai sumber makanan alternatif ketika pergerakan terhad.
Antara tanaman yang diusahakan ialah kangkung, ulam-ulaman, terung dan pokok pisang yang mudah dijaga serta cepat mengeluarkan hasil.
“Tanaman seperti kangkung dan ulam boleh dituai dalam tempoh singkat, manakala pisang mengambil masa antara enam bulan hingga setahun,” katanya.
Kawasan tanaman dianggar meliputi kira-kira 30,000 kaki persegi di sekitar kolam, dengan penglibatan penduduk secara individu mengikut kelapangan masa masing-masing.
Inisiatif itu secara tidak langsung menyahut seruan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu agar rakyat bercucuk tanam bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import susulan ketidaktentuan geopolitik yang turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata peningkatan kos input seperti baja, racun dan diesel menyebabkan kos pengeluaran melonjak, namun harga jualan di peringkat ladang kekal rendah sehingga menjejaskan pendapatan petani.
Beliau berkata walaupun subsidi kerajaan bagi diesel dan petrol sedikit sebanyak membantu, ia masih tidak mencukupi berikutan kos pengangkutan dan bahan pembungkusan yang turut meningkat ketara.
Situasi itu menyebabkan sebahagian hasil tanaman tidak dapat dipasarkan, malah ada yang terpaksa dibiarkan rosak di ladang kerana tidak berbaloi dihantar ke pusat pengumpulan.
Mengulas saranan penanaman di rumah, Syed Abd Rahman menyifatkannya sebagai langkah baik yang boleh membantu orang ramai menjimatkan perbelanjaan harian serta menjamin bekalan makanan sendiri.
“Nak tanam untuk makan sendiri memang digalakkan, sekurang-kurangnya dapat kurangkan kebergantungan kepada pasaran,” katanya.
Seorang kerani di sebuah syarikat swasta, Anis Suraya A. Aziz, 25, turut berkongsi minat terhadap aktiviti bertani di rumah yang dipengaruhi oleh amalan keluarganya menggunakan sayur segar dari kebun sendiri serta keinginan menjalani gaya hidup sihat.
“Dengan menanam sendiri, saya dapat berjimat kira-kira RM10 hingga RM20 sebulan bagi perbelanjaan sayur-sayuran.
“Antara tanaman yang sesuai ialah bayam Brazil, tomato dan kangkung kerana mudah dijaga serta cepat membesar dalam cuaca tempatan,” katanya.
Beliau berkata mereka yang tinggal di pangsapuri masih boleh bercucuk tanam menggunakan pasu, bekas kitar semula atau polibeg bersaiz sederhana di ruang kecil seperti balkoni.
“Ruang kecil bukan halangan. Yang penting, pastikan tanaman mendapat cahaya matahari mencukupi dan mulakan dengan tanaman yang mudah dijaga,” katanya.
-- BERNAMA
