DUNIA

PENTADBIRAN AS LANCAR PORTAL BAYARAN BALIK TARIF

21/04/2026 03:09 PM

WASHINGTON, 21 April (Bernama-dpa) -- Kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin melancarkan portal dalam talian bagi membolehkan pengimport menuntut semula bayaran tarif yang diputuskan tidak sah oleh Mahkamah Agung, lapor agensi berita Jerman dpa.

Mulai Isnin, syarikat boleh memohon bayaran balik menerusi sistem Consolidated Administration and Processing of Entries (CAPE).

Pihak kastam AS menganggarkan jumlah tuntutan yang terbabit boleh mencecah sekitar US$166 bilion.

Anggaran terdahulu oleh University of Pennsylvania pula meletakkan jumlah itu mencecah US$175 bilion, bersamaan kira-kira 2.5 peratus daripada belanjawan tahunan AS.

Hanya syarikat yang membayar tarif itu secara langsung layak menuntut bayaran balik, namun setakat ini masih belum jelas sejauh mana pengguna akan turut memperoleh manfaat secara tidak langsung.

Pada fasa awal, tumpuan akan diberikan kepada pemprosesan kes tarif yang belum disemak secara muktamad atau yang baru sahaja selesai diputuskan.

Kes yang lebih lama pula akan diproses pada peringkat kemudian.

Menurut laporan media, ribuan perniagaan mengemukakan permohonan sebaik sahaja portal itu dilancarkan.

Kelulusan dijangka diberikan dalam tempoh 60 hingga 90 hari, menurut pihak berkuasa Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP).

Bersandarkan undang-undang darurat yang berkuat kuasa sejak 1977, Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif ke atas banyak rakan dagang AS sejak awal penggal keduanya pada Januari tahun lalu.

Pada Februari, Mahkamah Agung memutuskan tarif itu tidak sah.

Mahkamah Perdagangan Antarabangsa di New York kemudian memutuskan bahawa pengimport berhak menerima bayaran balik bagi tarif yang telah dibayar.

-- BERNAMA-dpa

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan