SUKAN

PM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PRESIDEN OCA, BINCANG USAHA PERKUKUH GERAKAN OLIMPIK

20/04/2026 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Usaha dan inisiatif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam memperkukuh Gerakan Olimpik di negara ini agar terus selari dengan kerangka kerjasama strategik bersama Majlis Olimpik Asia (OCA) menjadi tumpuan utama perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dengan delegasi OCA.

Anwar berkata perkara itu dibincangkan semasa beliau menerima kunjungan hormat daripada Presiden Jawatankuasa Olimpik Qatar merangkap Presiden OCA Putera Sheikh Joaan Hamad Al Thani yang hadir bersama-sama delegasi dan wakil MOM dalam sesi pertemuan penuh bermakna.

Beliau berkata dalam konteks perancangan jangka panjang, pertemuan itu turut menyentuh mengenai penganjuran Sukan Pantai, Sukan Belia dan Sukan Asia bagi tahun 2029.

"Insya-Allah, segala persiapan dan hala tuju akan dirangka secara kolektif bersama negara-negara anggota di bawah naungan OCA bagi memastikan penganjuran temasya sukan berprestij ini dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh negara tuan rumah kelak," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

 -- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan