AM

KEBAKARAN KAMPUNG BAHAGIA: IBU DALAM PANTANG LARI BAWA BAYI DAN ANAK KECIL

20/04/2026 06:13 PM

SANDAKAN, 20 April (Bernama) -- Seorang wanita yang masih dalam tempoh berpantang tidak memikirkan perkara lain selain menyelamatkan dirinya bersama-sama dua anak termasuk bayinya yang berusia 27 hari semasa kebakaran memusnahkan ribuan rumah di Kampung Bahagia di sini, semalam.

Nurjaima Kassim, 31, berkata detik cemas itu ibarat mimpi ngeri bagi dirinya.

"Ketika kejadian, saya sedang menukarkan lampin bayi. Tiba-tiba saya terdengar orang berteriak, apabila saya nampak api, saya hanya mampu menyelamatkan diri, anak-anak serta dokumen penting sahaja.

"Saya hanya mahu fikir kejadian ini hanyalah mimpi dan saya tidak mahu bangun daripada mimpi itu … memang tiada apa-apa yang dapat diselamatkan … pakaian yang kami pakai ini pun sumbangan daripada orang luar," katanya kepada Bernama.

Nurjaima bersama-sama dua anak dan suaminya yang bekerja sebagai buruh di Johor dan sedang bercuti kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi.

Semalam, kebakaran besar di perkampungan atas air itu mengakibatkan kira-kira 1,000 rumah musnah membabitkan kawasan lebih empat hektar, dengan enam PPS dibuka setakat ini.

Susulan itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan bantuan awal RM2,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas.

Nurjaima yang bersyukur atas keprihatinan kerajaan dan agensi atas bantuan itu berharap kawasan berkenaan akan diwartakan sebagai perkampungan yang menjadi penantian penduduk selama bertahun-tahun.

Shalwa Samat, 33, pula yang kini terpaksa berteduh di PPS kerana kediaman dan harta bendanya musnah dalam kebakaran itu berharap kerajaan dapat menyediakan bantuan jangka panjang, terutamanya kelengkapan dan peralatan untuk membina semula kediaman kerana tidak mampu menyewa rumah.

"Bagaimanapun, kami sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak zakat kerana membantu rakyat yang ditimpa musibah … alhamdulillah," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan