ALOR SETAR, 20 April (Bernama) - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah diseru memainkan peranan lebih tegas sebagai benteng integriti dan mekanisme semak imbang dalam memastikan tadbir urus kerajaan negeri kekal telus, berakauntabiliti serta bebas rasuah.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata dalam landskap pentadbiran moden, kerajaan tidak lagi boleh bergerak secara silo sebaliknya memerlukan pendekatan bersepadu melibatkan semua pihak termasuk wakil rakyat dan agensi penguat kuasa.
“Peranan ADUN bukan sekadar menyampaikan aspirasi rakyat, tetapi memastikan setiap dasar difahami, dilaksanakan dengan berkesan serta dipantau secara telus di peringkat akar umbi,” katanya pada Program Libat Urus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bersama ADUN Kedah 2026 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 merupakan satu langkah tepat dalam memastikan usaha memerangi rasuah dijalankan secara bersistematik, merangkumi aspek pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan dan insentif.
“Kejayaan strategi itu bergantung kepada komitmen berterusan semua pihak untuk menterjemahkannya kepada tindakan nyata, bukan sekadar dokumen dasar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata setiap peruntukan kerajaan perlu diurus dengan amanah, projek dilaksanakan secara telus dan setiap keputusan dibuat tanpa konflik kepentingan.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal integriti. Sekali kepercayaan rakyat terjejas, kesannya bukan sahaja kepada individu, tetapi seluruh institusi pentadbiran negeri,” katanya.
Sanusi turut menyifatkan SPRM sebagai rakan strategik penting dalam memperkukuh sistem pencegahan rasuah, khususnya melalui pendekatan pendidikan dan penambahbaikan sistem yang lebih mampan.
Sementara itu, pada program sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, rasuah tidak berlaku kerana ketiadaan undang-undang atau peraturan sebaliknya apabila sistem tidak mempunyai keupayaan untuk mengawalnya secara berkesan dan tidak cukup telus untuk dipantau.
”Apabila kita melihat kepada isu ketirisan dalam pengurusan dana awam, kita perlu memahami bahawa ia bukan sekadar isu kewangan. Ia adalah refleksi kepada keseluruhan rantaian tadbir urus iaitu daripada peringkat perancangan kepada pelaksanaan di mana setiap peringkat mempunyai potensi menjadi titik kelemahan sekiranya tidak dikawal dengan baik.
”Apabila kelemahan ini berlaku secara berulang, ia tidak lagi menjadi kes terpencil tetapi menjadi pola yang kemudian akan membentuk norma yang akhirnya melemahkan sistem secara keseluruhan,” katanya.
-- BERNAMA
