POLITIK

PBB BERI RUANG CALON MUDA PIMPIN RAKYAT - ABANG JOHARI

19/04/2026 08:18 PM

KUCHING, 19 April (Bernama) -- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus memberikan ruang kepada calon muda untuk memimpin sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kesinambungan kepimpinan serta pembangunan negeri yang mampan, kata Presidennya Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata langkah menampilkan calon muda tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan negeri yang menekankan pembangunan berteraskan inovasi, ekonomi digital serta tenaga lestari.

“Dalam komponen parti, peluang kepada golongan muda ketika ini masih terhad kerana mereka perlu banyak belajar daripada pemimpin berpengalaman.

“Mereka sememangnya mempunyai kelebihan dari segi tenaga dan kepantasan, namun perlu diseimbangkan dengan pengalaman serta kebijaksanaan pemimpin terdahulu,” kata Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada sidang media bersempena dengan Konvensyen GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata gabungan tenaga dan idea golongan muda dengan pengalaman pemimpin lama penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti serta kestabilan pentadbiran negeri.

Beliau berkata pendekatan keseimbangan antara pemimpin lama dengan yang baharu dilihat sebagai strategi penting dalam memastikan dasar pembangunan negeri dapat diteruskan secara konsisten, khususnya menjelang pilihan raya negeri akan datang.

“Namun, apabila calon dalam kalangan orang muda diketengahkan, saya berharap pemimpin yang lebih berpengalaman tidak merajuk,” katanya dan menambah semua pihak perlu menerima keputusan parti secara terbuka dan terus menyokong usaha memperkukuh organisasi.

Sementara itu, dalam ucapan penangguhan Konvensyen GPS, Abang Johari menepis persepsi GPS sebagai penentu kuasa, sebaliknya gabungan berkenaan hanya mahu memainkan peranan dalam memastikan landskap politik negara kekal stabil.

“Kita disebut sebagai kingmaker, (tetapi) kita bukan kingmaker. Kita GPS sayang akan Malaysia. Kita mahukan Malaysia stabil dan kuat,” katanya.

Pada masa sama, Abang Johari menegaskan bahawa masa depan negeri perlu terus ditentukan oleh anak negeri sendiri tanpa campur tangan parti politik luar Sarawak.

Pengerusi GPS itu turut mengulangi keputusan gabungan berkenaan untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13), sama seperti pilihan raya negeri sebelum ini.

"Kita mahu parti luar dari Sarawak sikboh (jangan) ngaco (campur tangan hal) Sarawak. Kita dah ada kerjasama yang baik (pada peringkat Persekutuan).

"Kalau Sarawak maju, Malaysia maju. Kalau Sarawak ekonominya kuat, Malaysia kuat. Sebab cukai pergi kepada kerajaan pusat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan