POLITIK

LEBIH RAMAI NAMA BESAR DIJANGKA KEMBALI SERTAI UMNO - AHMAD ZAHID

19/04/2026 03:45 PM

SHAH ALAM, 19 April (Bernama) -- Lebih ramai lagi nama besar termasuk daripada parti pembangkang dijangka menyertai semula UMNO melalui inisiatif Gagasan Rumah Bangsa, kata Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata setakat ini seramai 6,252 individu telah mengemukakan permohonan untuk menyertai semula UMNO, yang disifatkannya sebagai perkembangan yang cukup baik.

“Ramai (bekas ahli UMNO kini bersama parti pembangkang) yang jumpa (saya). Mereka telah bertemu dengan saya secara tidak rasmi, tetapi untuk jaga aib muka, saya tak perlu sebutkan namanya di sini. Dan kita mengalu-alukan semua pihak tanpa syarat untuk menyertai UMNO melalui Rumah Bangsa.

“Kita telah mempermudahkan permohonan ini dengan hanya menulis surat untuk menyatakan hasrat dimasukkan dan kita terus berikan kelulusan,” katanya selepas merasmikan pasar raya Rissmart Grocer, di sini, hari ini. 

Ahmad Zahid berkata Majlis Tertinggi UMNO juga telah membuat keputusan untuk mempermudah urusan mereka yang ingin kembali kepada parti itu menerusi Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dibentuk dan dipengerusikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha mempercepatkan proses kemasukan semula dan menarik lebih ramai penyertaan, termasuk dalam kalangan golongan muda, selain turut memperkenalkan permohonan keahlian secara dalam talian dengan pengeluaran kad keahlian digital. 

“Dulunya secara konvensional, mereka isi borang memohon melalui ketua cawangan dan kemudian dibawa ke peringkat bahagian, negeri dan ibu pejabat.

“Jadi proses (ini) tidak disukai anak-anak muda, kita lakukan game changer (perubahan) terus memohon atas talian secara terus ke ibu pejabat, itulah sebabnya kita mendapat respon yang baik,” katanya. 

Jumaat lepas, media melaporkan selain bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, turut diterima kembali tanpa syarat menyertai semula UMNO menerusi inisiatif Gagasan Rumah Bangsa ialah bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan