KUALA KANGSAR, 17 April (Bernama) -- Operasi haji Malaysia bagi musim 1447H/2026M berjalan lancar dengan ketibaan awal petugas di Tanah Suci bagi menyelaras persiapan menerima jemaah haji negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata kesiapsiagaan pasukan Tabung Haji (TH) di lapangan berada pada tahap terbaik bagi memastikan urusan jemaah berjalan teratur, sebaik ketibaan penerbangan pertama.
Zulkifli berkata beliau bersama pengurusan haji akan menyantuni jemaah di Sepang bagi penerbangan pertama yang dijadualkan esok (Sabtu), kira-kira 4 pagi.
"Dua penerbangan awal petugas TH dan Kementerian Kesihatan telah selamat tiba di Tanah Suci sebagai persediaan menyambut ketibaan para duyufurrahman (tetamu Allah) dalam suasana teratur dan selamat.
“Pasukan kita telah bersedia, malah setakat ini semuanya telah siap sepenuhnya bagi memastikan segala urusan berjalan dengan baik mengikut perancangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ihtifal Madrasah Idrisiah 2026, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli memaklumkan kerajaan turut memberikan perhatian serius terhadap situasi geopolitik semasa berkaitan krisis tenaga global termasuk ketegangan melibatkan Iran dan Amerika Syarikat, khususnya dari sudut persepsi serta kebimbangan dalam kalangan jemaah dan keluarga mereka.
Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan pada pelbagai peringkat termasuk Kabinet, selain melibatkan kerjasama strategik bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
“Kita memberikan penekanan kepada aspek komunikasi supaya maklumat yang disampaikan kepada jemaah dan rakyat jelas, tepat dan tidak menimbulkan kegusaran.
"TH juga telah menggerakkan pelan komunikasi menyeluruh termasuk penubuhan pasukan khas bagi memantau serta menyalurkan maklumat terkini secara berterusan," katanya.
Zulkifli berkata penggunaan aplikasi digital dan peranan pembimbing haji di lapangan turut diperkasakan bagi memastikan setiap jemaah sentiasa mendapat maklumat sahih serta perkembangan semasa.
"Sehubungan dengan itu, kami mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi.
"Kebanyakan bakal jemaah menunjukkan keyakinan tinggi untuk menunaikan ibadah haji tahun ini, malah tiada jemaah yang menarik diri walaupun berdepan pelbagai isu global, sekali gus membuktikan keyakinan mereka terhadap pengurusan dan keselamatan yang disediakan,” katanya.
-- BERNAMA
