AM

DSH2 PERKENAL SUPINE HIFU, PERTAMA DI ASIA TENGGARA RAWAT FIBROID TANPA PEMBEDAHAN

17/04/2026 01:08 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2), sebahagian daripada rangkaian KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare), mencatat satu lagi pencapaian penting apabila menjadi hospital pertama di Asia Tenggara memperkenalkan rawatan Supine High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU) bagi rawatan fibroid rahim tanpa pembedahan.

KPJ Healthcare dalam kenyataan menjelaskan HIFU merupakan rawatan tanpa pembedahan yang menggunakan tenaga ultrasound berfokus untuk menyasarkan tisu fibroid tanpa memerlukan hirisan atau pembuangan rahim. 

“Walaupun HIFU menawarkan pilihan rawatan tanpa pembedahan, pemilihan pesakit yang sesuai adalah penting. Kaedah ini biasanya lebih sesuai untuk pesakit mempunyai fibroid bersaiz sederhana dengan bilangan terhad dan tidak berada berhampiran struktur sekeliling yang sensitif. 

“Bagi kes lebih kompleks, pilihan rawatan lain yang boleh memelihara rahim seperti laparoskopi atau miomektomi histeroskopi akan dipertimbangkan,” menurut kenyataan itu.

Fibroid rahim adalah keadaan biasa yang boleh menjejaskan kualiti hidup wanita dan pendekatan rawatan tradisional mungkin melibatkan pembedahan seperti miomektomi atau histerektomi yang memerlukan tempoh pemulihan lebih panjang.

Prosedur HIFU konvensional lazimnya dilakukan dengan pesakit dalam posisi meniarap untuk tempoh panjang, manakala pendekatan supine (terlentang) membolehkan rawatan dilakukan dalam posisi lebih selesa, sekali gus berpotensi mengurangkan ketidakselesaan semasa prosedur yang mengambil masa lebih lama.

Menurut KPJ Healthcare, pengenalan Supine HIFU di DSH2 mencerminkan fokus berterusan hospital dalam memperkasakan perkhidmatan kesihatan wanita melalui penggunaan teknologi bersesuaian serta kepakaran klinikal.

“Pendekatan ini selari dengan hala tuju KPJ Health System yang lebih luas serta turut diperkukuhkan lagi melalui pengiktirafan DSH2 sebagai Specialty Hospital of the Year (Women’s) - Malaysia di Healthcare Asia Awards 2026 baru-baru ini,” menurut kenyataan itu.

Mengulas perkembangan itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata pengenalan Supine HIFU di DSH2 mencerminkan usaha pihaknya dalam mengukuhkan perkhidmatan kesihatan wanita melalui penggunaan inovasi bersasar, sekali gus menambah baik cara penjagaan disampaikan. 

“Sebagai satu pencapaian di bawah KPJ Health System, ia membuktikan komitmen kami untuk memperluas akses kepada rawatan kurang invasif (invasive), sambil mengekalkan hasil klinikal yang baik dan meningkatkan pengalaman pesakit yang lebih selesa. 

“Perkembangan ini juga menunjukkan bagaimana teknologi diaplikasikan secara praktikal dan bertanggungjawab selaras dengan aspirasi Care for Life,” katanya dalam kenyataan sama.

Di DSH2, prosedur Spine HIFU dikendalikan oleh pakar perunding obstetrik dan ginekologi Dr Liew Yen Eit dan Dr Haliza Kamarudin dalam memperkasa perkhidmatan kesihatan wanita di hospital.

Maklumat lanjut layari https://kpjhealth.com.my/damansara2 atau hubungi +603-7717 3000.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan