AM

KEPELBAGAIAN BIODIVERSITI UNISZA JADI “TEMPAT PERSINGGAHAN” BURUNG HIJRAH

17/04/2026 11:13 AM

Oleh Nurfardlina Izzati Moktar

KUALA NERUS, 17 April (Bernama) -- Kawasan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini menjadi “tempat persinggahan” kepada pelbagai spesies burung termasuk tempatan dan hijrah, dengan 149 spesies direkodkan setakat ini, sekali gus mencerminkan kepelbagaian biodiversiti di persekitaran berkenaan.

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) UniSZA Cornelius Anuar Abdullah McAfee berkata kampus itu menjadi lokasi strategik kerana gabungan habitat seperti tanah lembap, padang terbuka dan kawasan landskap yang sesuai untuk pelbagai spesies burung. 

Anuar yang juga ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Cawangan Terengganu berkata musim utama burung hijrah di Malaysia adalah antara Oktober hingga Mac, meskipun ada spesies yang tiba lebih awal atau pulang lebih lewat bergantung kepada faktor cuaca dan sumber makanan.

“Faktor penghijrahan burung hijrah bukan semata-mata dipengaruhi cuaca, sebaliknya lebih kepada mekanisme semula jadi. Burung bertindak mengikut perubahan panjang siang dan malam serta ketersediaan sumber makanan.

“Apabila musim panas bermula di kawasan asal, sumber makanan kembali banyak dan burung hijrah akan pulang ke habitat asal untuk membiak,” katanya kepada Bernama di UniSZA, baru-baru ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai Anuar McAfee berkata dalam tempoh sama, burung tempatan sedang membiak dan memerlukan lebih banyak makanan, sekali gus meningkatkan persaingan dan mendorong burung hijrah kembali ke tempat asal.

Mengulas lanjut, Anuar berkata antara spesies migrasi yang direkodkan di Terengganu termasuk burung pemangsa seperti Osprey dan Honey Buzzard, selain burung kawasan lembap seperti Plover, Sandpiper dan Snipe serta spesies kecil seperti Amur Stonechat, Taiga Flycatcher dan Red-throated Pipit.

Kehadiran spesies itu menjadikan UniSZA sebagai hentian ekologi penting di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Anuar berkata dua spesies burung hijrah dikenal pasti sebagai paling kerap ditemukan dan mudah dikenali di kawasan kampus, iaitu Common Sandpiper (kedidi) dan Chinese Pond Heron.

Common Sandpiper mudah dilihat di kawasan terbuka seperti tepi longkang, manakala Chinese Pond Heron pula banyak ditemukan terutama pada  Oktober ketika kawasan padang menjadi basah akibat hujan,” katanya.

Beliau berkata Terengganu secara keseluruhannya mencatatkan lebih 400 spesies burung, dan jumlah itu sentiasa meningkat dengan penemuan baharu setiap beberapa bulan hasil pemerhatian penyelidik serta komuniti pencinta alam.

“Terdapat penemuan spesies itik hijrah berhampiran kawasan padang golf di Kuala Terengganu baru-baru ini, yang sebelum ini tidak pernah direkodkan di negeri itu.

“Malah, pada 2024, seekor Itik Jambul atau ‘Tufted Duck’ (Aythya fuligula), yang muncul di tasik UniSZA ialah spesies burung hijrah dari utara dan kali pertama kali direkodkan di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata penemuan itu dianggap istimewa kerana spesies berkenaan berasal dari kawasan jauh, iaitu zon sederhana utara seperti Rusia, dan jarang-jarang ditemukan di Malaysia.

Kehadiran Itik Jambul ke Asia Tenggara adalah sangat jarang, dan kemunculannya di negara ini khususnya di Terengganu merupakan fenomena unik kerana ia mampu melakukan migrasi jarak jauh serta tiba dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata persekitaran yang bersih dan selamat di UniSZA, khususnya kawasan paya antara faktor yang menarik kedatangan spesies burung dari kawasan Artik.

Mengulas mengenai inisiatif pendidikan, beliau berkata program Edutourism yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan UniSZA bertujuan mempromosikan ilmu dan kepakaran universiti kepada masyarakat umum secara santai dan mudah difahami.

Sebanyak lapan program ditawarkan merangkumi pelbagai bidang, termasuk pemerhatian burung (birdwatching) dan astronomi, dengan program Tropical Rainforest Birdwatching antara yang paling mendapat sambutan.

“Tahun lepas, program birdwatching ini berjaya menarik hampir 400 peserta melibatkan pelajar serta masyarakat umum,” katanya sambil menambah birdwatching bukan sahaja aktiviti rekreasi malah berperanan sebagai medium meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata kajian terkini juga menunjukkan aktiviti pemerhatian burung memberikan manfaat kepada kesihatan mental dengan membantu mengurangkan tekanan melalui rangsangan kognitif dan interaksi dengan alam semula jadi.

Mengulas lanjut, Anuar berkata trend pemerhatian burung turut berkembang kepada fotografi burung yang bukan sahaja meningkatkan minat golongan muda, malah membantu dokumentasi serta perkongsian maklumat biodiversiti.

“Fotografi menjadikan aktiviti ini lebih interaktif dan mampu memberikan impak lebih besar dari segi kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Anuar berkata UniSZA menganjurkan program pemerhatian burung dan fotografi di Tasik Kenyir bermula hari ini hingga 19 April ini, yang menggabungkan beberapa komponen termasuk Edutourisme UniSZA (Birdwatching), Kenyir Bird and Nature Quest (KBNQ) serta Canon Birding Photo Marathon x KBNQ 2026.

“Program selama tiga hari itu merangkumi aktiviti pemerhatian burung secara berpandu, latihan fotografi dan sesi perkongsian ilmu, serta terbuka kepada peserta baharu dan berpengalaman,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan