GEORGE TOWN, 16 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited memulihara hidupan liar dengan menyokong pembinaan infrastruktur mesra alam seperti jambatan kanopi bagi mengurangkan kesan pembangunan terhadap habitat semula jadi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata setakat ini, tiga jambatan kanopi telah dibina oleh Langur Project Penang (LPP), termasuk projek terbaharu dikenali sebagai Obscura yang dipasang minggu lepas.
Beliau berkata kerjasama antara kerajaan negeri dan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya dan Tenaga Nasional Berhad telah membantu menjayakan projek berkenaan.
“Kerjasama melibatkan kelulusan pelan teknikal serta sokongan daripada agensi-agensi berkaitan amat penting bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Bagi masa depan, ia bergantung kepada keperluan dan kerajaan negeri bersedia bekerjasama bagi menyokong inisiatif yang baik ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan hidupan liar berkenaan di sini.
Zairil berkata jambatan kanopi pertama, Ah Lai's Crossing di Teluk Bahang yang dibina pada 2019, telah merekodkan kira-kira 7,500 lintasan hidupan liar, manakala Numi's Crossing di Tanjung Bungah yang dibina pada 2024 mencatatkan 800 lintasan setakat ini.
Beliau berkata pembangunan tanpa perancangan menyeluruh boleh menjejaskan habitat spesies seperti Dusky Langur, serta meningkatkan risiko kemalangan apabila haiwan cuba melintas jalan.
“Dengan adanya jambatan ini, haiwan dapat melintas dengan lebih selamat sekali gus mengurangkan risiko kemalangan serta impak terhadap habitat mereka,” katanya.
Beliau turut memuji kejayaan LPP yang membuktikan kepentingan kerjasama antara kerajaan, komuniti, penyelidik dan pihak berkepentingan lain.
Katanya projek berkenaan juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila jambatan pertama yang dibina dilaporkan oleh media global termasuk BBC.
-- BERNAMA
