AM

IBU BAPA MURID SK BALABAN JAYA HARAP PEMBINAAN SEMULA SEKOLAH DISEGERAKAN

16/04/2026 03:51 PM

Oleh Khatijah Jistoh

BELURAN, 16 April (Bernama) -- Ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya di sini berharap kerajaan dapat menyegerakan pembinaan semula sekolah berkenaan selepas sebahagian struktur bangunan sekolah itu rosak akibat pergerakan tanah dan cerun.

Penduduk Kampung Balaban, Nor Azwah Mukram, 26,  berkata buat masa ini anaknya Muhammad Naim Zarith Abdullah, 9,  menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi tempoh dua minggu.

“PdPR bagus supaya tidak ketinggalan pelajaran, tetapi saya harap anak dapat ke sekolah dengan keadaan lebih baik (selepas dibina semula). Selepas tempoh dua minggu PdPR ini, murid akan menumpang belajar di Sekolah Kebangsaan Pekan Beluran.

“Syukur, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi perhatian kepada sekolah ini, harap pembinaan semula dapat disegerakan. Terima kasih juga kerana Kementerian Pendidikan Malaysia akan  menyediakan pengangkutan untuk anak-anak ke sekolah sementara itu nanti,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, tular gambar murid SK Balaban Jaya mengikuti pembelajaran di bawah khemah serta di kaki lima masjid, dan mendapat perhatian Anwar yang berkongsi perkara itu di Facebooknya pada 11 April lepas dan mahukan penyelesaian segera isu berkenaan.

Pada 13  April lepas, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan RM52 juta pada 2025 di bawah Rolling Plan 5 Rancangan Malaysia ke-12 bagi pembinaan semula sekolah itu.

Beluran, sebuah kawasan di pedalaman pantai timur Sabah, terletak kira-kira 300 kilometer arah timur dari Kota Kinabalu.

Nor Azwah berkata ibu bapa dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa sebahagian struktur bangunan sekolah itu dan kemudahan lain rosak termasuk jalan konkrit yang terbelah serta berlubang.

“ … pada mulanya anak-anak belajar secara PdPR selama dua minggu, kemudian belajar di dewan kampung sebelum ke pekarangan Masjid Balaban,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Saidal Tibi, 45, turut berharap pembinaan semula sekolah itu dapat disegerakan bagi memastikan akses pendidikan yang selamat serta berkualiti kepada murid di kawasan berkenaan.

“Terima kasih juga kepada kerajaan kerana prihatin terhadap pendidikan anak-anak di sini, dengan menyediakan tempat belajar serta bas percuma ke sekolah (yang ditumpang buat sementara waktu) itu nanti.

“Meskipun ada sedikit rasa khuatir sebab anak saya baru berusia lapan tahun selain jaraknya jauh dari sini ke pekan, tetapi saya faham ia demi pendidikan anak,” katanya.

Dalam pada itu, murid SK Balaban Jaya Mohamad Daniel Norhan Abdullah, 12, berkata beliau berharap dapat segera kembali belajar di sekolah kerana suasananya lebih kondusif.

“Sewaktu dipindahkan belajar di dewan kampung agak tidak selesa kerana panas dan bising. Sekarang saya PdPR dua minggu, masalah yang dihadapi pula ialah Internet.

“Saya dan adik terpaksa ke rumah ibu saudara kerana ada Internet, selain untuk membantu menyelesaikan kerja sekolah semasa kelas dalam talian,” katanya.

Muhammad Naim Zarith pula berkata kurang selesa belajar di dalam khemah kerana panas dan lebih selesa menjalani PdPR.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan