KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kos pembaikan dan pemulihan bagi infrastruktur berkaitan tenaga susulan konflik di Asia Barat boleh mencecah US$58 billion (US$1 = RM3.96), dengan jumlah bagi kemudahan minyak dan gas berpotensi meningkat sehingga US$50 billion, kata syarikat penyelidikan bebas dan perisikan tenaga, Rystad Energy.
Dalam satu kenyataan, ia berkata tiga minggu selepas syarikat itu menerbitkan anggaran awal kos pembaikan sebanyak US$25 bilion melibatkan seluruh infrastruktur tenaga di Teluk, skop kerosakan telah meningkat dengan ketara.
Katanya, serangan ketenteraan yang berterusan telah meningkatkan jumlah aset yang terjejas di seluruh rantau itu sebelum sebahagian besarnya reda susulan gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran pada 8 April.
“Ini telah mendorong anggaran purata potensi jumlah perbelanjaan bagi pembaikan dan pemulihan kepada US$46 bilion, mewakili titik pertengahan dalam julat US$34 bilion hingga US$58 bilion, merentasi infrastruktur minyak dan gas, termasuk purata US$5 bilion bagi seluruh aset perindustrian, kuasa dan penyahgaraman.
“Gencatan senjata, digabungkan dengan rundingan yang terhenti dan risiko peningkatan ketegangan tercetus kembali, terus membentuk persekitaran operasi, di samping risiko gangguan dan potensi sekatan yang menjejaskan aktiviti perkapalan di Selat Hormuz,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Rystad Energy Karan Satwani berkata situasi itu bukan lagi sekadar mengenai kemudahan di Teluk yang rosak, tetapi juga menguji dan memberi tekanan kepada rantaian bekalan tenaga global.
Beliau berkata peralatan dan kontraktor yang sama diperlukan untuk membina semula telah komited terhadap gelombang projek gas asli cecair dan projek luar pesisir yang diluluskan sejak 2023.
Katanya, kerja pembaikan tidak mewujudkan kapasiti baharu, ia mengalihkan kapasiti sedia ada dan peralihan itu akan dirasai dalam projek yang tertangguh dan inflasi yang jauh melangkaui Asia Barat.
“Bil sebanyak US$58 bilion itu akan menjadi tajuk utama, tetapi kesan sampingannya terhadap jarak masa pelaburan tenaga di seluruh dunia mungkin terbukti sama pentingnya,” tambahnya.
-- BERNAMA
