PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong bahan api diesel ke Filipina.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihak berkuasa telah mengesahkan diesel berkenaan, milik syarikat perdagangan Vitol dan bukan milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau Kerajaan Malaysia.
“Peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut turut disita bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan MCMC.
MCMC memaklumkan bahawa setakat 14 April, sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penyebaran berita palsu berkaitan krisis tenaga global di platform media sosial dan digital, susulan konflik di Asia Barat dan kesemua kes kini dalam siasatan lanjut.
Antara kandungan palsu yang tular termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api melebihi pengumuman sebenar, kenaikan tarif elektrik, kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran, pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura serta penghantaran diesel ke Filipina yang didakwa milik Malaysia.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
-- BERNAMA
