KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Sebanyak 48 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipilih sebagai kumpulan pertama Pengawal Sempadan Malaysia (MBG) di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah itu adalah daripada 1,400 permohonan yang diterima untuk menyertai MBG.
“Pengambilan itu adalah sebahagian daripada sasaran 220 rekrut menerusi peruntukan RM8 juta yang diluluskan dalam Belanjawan 2026.
“Kumpulan pertama ini telah melalui saringan psikometrik, ujian fizikal dan temu duga serta memenuhi standard yang ditetapkan. Mereka akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, iaitu 31 orang, Pelabuhan Klang (14 orang) dan Ibu Pejabat AKPS (tiga orang),” katanya pada sidang media selepas melancarkan MBG hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Okt tahun lepas berkata keutamaan akan diberikan kepada veteran ATM bagi mengisi keperluan tenaga kerja AKPS bagi kesiapsiagaan penuh agensi itu.
Saifuddin Nasution berkata baki pengambilan MBG akan dilaksanakan dalam tempoh lapan bulan bagi melengkapkan kuota 220 anggota tahun ini dan anggota MBG akan beroperasi mengikut penugasan AKPS dengan kontrak permulaan selama setahun.
AKPS yang kini mempunyai kira-kira 6,800 anggota memerlukan sehingga 13,000 anggota bagi memenuhi keperluan operasi termasuk mengawal 122 pintu masuk rasmi negara.
Sementara itu, beliau berkata cadangan penggunaan senjata oleh anggota MBG sedang diperhalusi di peringkat kementerian susulan risiko penugasan di sempadan.
Beliau berkata siasatan berhubung insiden di Bukit Kayu Hitam, Kedah juga masih dijalankan.
Dalam kejadian pada 5.40 pagi 25 Feb lepas, kereta Proton X70 yang dipandu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin M Nasir ditembak dua das di susur Masjid Al Muhajirin, namun mangsa selamat.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pemilihan veteran ATM sebagai anggota MBG dibuat berdasarkan pengalaman luas mereka dalam bidang pertahanan yang mampu memperkukuh kawalan sempadan negara.
Beliau berkata hal ini membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan peranan baharu dalam penguatkuasaan sempadan, khususnya di lokasi strategik seperti lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan.
“Veteran ATM mempunyai disiplin, kemahiran serta pengalaman luas dalam bidang pertahanan dan keselamatan, sekali gus menjadikan mereka aset penting dalam memperkukuh barisan hadapan kawalan sempadan negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MBG.
Mohd Shuhaily berkata aspek integriti dan kualiti juga diberikan keutamaan dalam setiap pengambilan anggota baharu AKPS.
-- BERNAMA
