BANDAR BAHARU, 13 April (Bernama) -- Pembukaan Stesen Minyak Mudah Alih (PCS) di Desa KEDA Sungai Tengas di sini, berupaya memperluaskan kemudahan asas kepada komuniti di kawasan luar bandar.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata PCS adalah antara inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi KEDA.
"KEDA merupakan agensi pertama yang berjaya merealisasikan memorandum persefahaman (MoU) usahasama strategik KKDW bersama Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) melalui Projek Pembangunan Rangkaian Stesen Minyak Desa dan Wilayah bersama BHPetrol.
"BHPetrol memperuntukkan pelaburan sebanyak RM45 juta bagi pembangunan 10 stesen minyak termasuk di Sungai Tengas, Bandar Baharu, Kedah; Kampung Awah, Temerloh, Pahang; Sri Gading, Batu Pahat, Johor; dan Tumpi Rapat, Jeli, Kelantan.
"Alhamdulillah, hari ini kita lancarkan yang pertama di Sungai Tengas. Kedah menjadi yang pertamalah dalam program ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan PCS Desa KEDA Sungai Tengas dekat sini, hari ini.
Mahdzir berkata projek di Desa KEDA Sungai Tengas yang menelan kos RM1.2 juta itu dapat memastikan penduduk di kawasan luar bandar mendapat bekalan bahan api bersubsidi yang mencukupi tanpa perlu menempuh perjalanan yang jauh.
"Pembinaan stesen telah bermula pada 15 Oktober tahun lepas dan stesen ini memulakan operasi pada 11 Februari tahun ini," kata Mahdzir.
Beliau berkata tapak stesen disediakan oleh KEDA, yang turut melantik Koperasi Pengusaha Stesen Minyak Mini Wilayah Utara Berhad sebagai pengendali projek itu berdasarkan pengalaman luas mereka dalam pengurusan stesen minyak.
"Program ini merupakan satu kemudahan dan boleh memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 orang termasuk penduduk berhampiran.
"Inisiatif ini turut menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup serta merancakkan aktiviti ekonomi harian penduduk, khususnya golongan peladang dan peniaga kecil di sekitar Sungai Tengas," katanya.
Sementara itu, penduduk Desa KEDA Sungai Tengas, Abdullah A Rahman, 56, berkata sebelum ini mereka terpaksa menempuh perjalanan kira-kira tujuh kilometer untuk mengisi minyak.
“Dengan adanya stesen ini, ia banyak membantu orang kampung. Terima kasih kepada KEDA dan semua yang mengusahakan projek ini,” katanya.
Penduduk Desa KEDA Sungai Buloh, Zaharul Adnan, 54, pula berkata kewujudan stesen itu memberi kemudahan kepada penduduk untuk mendapatkan bahan api itu pada jarak lebih dekat.
"Sebelum ini kami perlu ke Selama, Perak atau Kampung Sungai Salleh kira-kira 10 kilometer untuk mengisi mengisi minyak, tapi kini lebih dekat," katanya.
Seorang lagi penduduk, Johari Syafie, 70, berkata selepas penutupan sebuah stesen minyak kira-kira 10 tahun lepas, akhirnya barulah ada stesen baharu di situ untuk kemudahan penduduk.
"Kami perlu ke Selama, Perak untuk membeli barang keperluan, jadi boleh isi minyak di sini sebelum bergerak ke sana," katanya.
-- BERNAMA
