AM

MARDI PERUNTUK RM364,200 BAGI PROJEK PENTERNAKAN AYAM SAGA DI JASIN

12/04/2026 04:10 PM

JASIN, 12 April (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperuntukkan RM364,200 bagi melaksanakan Projek Penternakan Ayam Saga di dua kampung di sini dalam usaha memperkasakan sosioekonomi penduduk melalui pemindahan teknologi pertanian dan penternakan.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata pelaksanaan projek di bawah Program Kampung Angkat MARDI itu mencerminkan komitmen agensi tersebut dalam memastikan teknologi yang dibangunkan dapat dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat.

“Projek Penternakan Ayam Saga sebagai sumber daging di komuniti daerah ini menjadi inisiatif penting untuk memastikan teknologi yang dibangunkan tidak terhenti di makmal atau ladang penyelidikan, sebaliknya sampai kepada masyarakat dan memberi impak kepada kehidupan seharian mereka.

“Saya berharap pelaksanaan Program Kampung Angkat MARDI di Kampung Chinchin Hulu dan Kampung Chinchin dapat memberi manfaat besar kepada komuniti setempat melalui perkongsian ilmu, teknologi dan kepakaran yang dibangunkan penyelidik,” katanya.

Mohamad Zabawi berkata demikian semasa ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Program Kampung Angkat MARDI dan Projek Penternakan Ayam Saga yang dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Yuhaizad Abdullah di Balai Raya Kampung Chinchin Hulu di sini hari ini.

Beliau berkata antara pengisian utama program ialah Kursus Penternakan Ayam Saga yang melibatkan 20 peserta terpilih dengan setiap seorang menerima bantuan bernilai RM18,210 merangkumi penyediaan infrastruktur reban, 100 anak ayam Saga, makanan ternakan, peralatan, vaksin dan disinfektan. 

MARDI juga memperuntukkan RM30,000 bagi menjalankan latihan dan pemantauan untuk memastikan kejayaan projek itu.

Selain itu, kursus tersebut turut memperkenalkan baka ayam kampung premium hasil penyelidikan MARDI yang sesuai diternak kecil-kecilan sebagai sumber daging dan telur serta berpotensi menjana pendapatan tambahan isi rumah.

Mohamad Zabawi berkata MARDI juga memperuntukkan kira-kira RM30,000 bagi kerja penambahbaikan kemudahan surau di dua kampung terlibat di bawah program tersebut.

Sementara itu Yuhaizad berkata kerajaan terus komited memperkukuh sektor agromakanan melalui penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi bagi menghadapi cabaran global termasuk gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos makanan.

Beliau berkata pelaksanaan program Kampung Angkat MARDI di dua kampung itu diharap menjadi model komuniti pertanian berjaya yang mampu meningkatkan pengeluaran makanan serta kesejahteraan masyarakat setempat.

Majlis turut melibatkan penyerahan touch point kepada 20 penduduk Kampung Chinchin Hulu dan Kampung Chinchin serta simbolik penyerahan teknologi Greenkit, iaitu inovasi pasu tanaman kendiri MARDI menggunakan konsep siraman kapilari bagi memudahkan penanaman sayuran serta ulaman secara lestari dan efisien.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan